Ringgit masih dipacu Belanjawan 2021, dibuka stabil | DagangNews Skip to main content

Ringgit masih dipacu Belanjawan 2021, dibuka stabil

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Ringgit memulakan dagangan rendah sedikit tetapi stabil pagi ini setelah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan pada penutupan semalam. 

 

Pagi ini, mata wang tempatan itu dibuka pada RM4.0670/0720 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Semalam, ringgit ditutup tinggi pada RM4.0650/0700 berbanding dolar AS selepas Belanjawan 2021 diluluskan sebulat suara dalam sidang Parlimen kira-kira 3.28 petang.

 

HLIB Research berkata, kelulusan Belanjawan 2021 semalam meletakkan ringgit antara mata wang yang merekodkan prestasi terbaik di Asia. 

 

Katanya, ringgit/dolar AS kini berada paras kukuh sejak Januari dengan petunjuk RSI hampir mencecah paras ambang. 

 

"Kami neutral kepada pergerakan ringgit hari ini dan menjangkakan beberapa penggabungan selepas mengukuh semalam memandangkan minggu akan berakhir," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Menurut firma penyelidikan itu, belanjawan itu yang diluluskan sebulat suara amat penting kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

"Bagaimanapun, risiko sama ada ia akan ditolak atau tidak masih ada memandangkan pembangkang masih boleh membuat undian selepas ia dibincangkan di peringkat jawatankuasa," katanya. 

 

Dalam pada itu, AmBank Research menjangkakan ringgit hari ini akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0497 dan RM4.0568 mata manakala paras rintangan antara RM4.0750 dan RM4.0847. 

 

Dolar AS pula, katanya, kembali meningkat 0.05% kepada 92.041. Pasaran kewangan AS ditutup sempena cuti Thanksgiving. 

 

"Harga minyak Brent naik 1.67% kepada AS%47.80 setong manakala West Texas Intermediate kekal pada AS%45.71 setong," katanya. 

 

Jelasnya, peningkatan harga minyak ini didorong oleh penurunan stok minyak mentah dan juga harapan terhadap vaksin COVID-19 dapat mencegah wabak itu sekali gus kembali meningkatkan permintaan bahan api.  - DagangNews.com