Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Feb. - Ringgit mengukuh dalam dagangan pagi ini, dibuka pada RM4.0360/0420 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
HLIB Research mengekalkan pandangan kenaikan hasil perbendaharaan AS akan terus menyokong nilai dolar AS/ringgit dalam tempoh terdekat.
"Ini kerana dolar AS boleh mengukuh jika jualan perbendaharaan AS kembali disambung. Hasil perbendaharaan AS 10 tahun dijangka cecah 1.5%," katanya dalam nota kajian.
Menurut firma itu, pasaran kini sedang menilai kesukaran yang dijangka dihadapi Joe Biden bagi memastikan rang undang-undang rangsangan ekonomi AS bernilai AS$1.9 trilion diluluskan Kongres.
Dalam masa sama, data eksport dan indeks harga pengguna (CPI) kemungkinan kurang mempengaruhi pergerakan pasaran.
"Untuk itu, kami mengubah pandangan kepada neutral ke atas dagangan dolar AS/ringgit minggu ini," jelasnya.
Pada Jumaat, ringgit melantun semula kepada RM4.0380/0430, untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS, daripada penutupan Khamis, RM4.0400/0440.
Peningkatan itu didorong oleh pembelian yang diperbaharui selepas jualan baru-baru ini walaupun adanya jangkaan kejatuhan harga minyak dunia.
Sementara itu, MIDF Research dalam laporan aliran kewangan mingguan berkata, ringgit tidak berubah di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah global bagi minggu berakhir 19 Februari.
Katanya, ringgit diniagakan pada RM4.042 berbanding dolar AS di sebalik kelemahan dolar AS dan kenaikan harga minyak mentah.
"Penanda aras Brent naik 0.8% daripada sebelumnya mencecah AS$62.91 setong pada Jumaat berbanding AS$62.43 setong minggu sebelumnya," katanya. - DagangNews.com