Ringgit memulakan dagangan rendah | DagangNews Skip to main content

Ringgit memulakan dagangan rendah

 


ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 30 Okt. - Ringgit dibuka rendah pagi ini pada RM4.1570/4.1630 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas cuti umum Maulidur Rasul semalam. 

Pada Rabu, mata wang tempatan itu ditutup lebih tinggi pada RM4.1520/1570 susulan prestasi eksport yang mencapai paras tertinggi pada September sejak Oktober 2018. 

AmBank Research menjangkakan ringgit hari ini akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.1432 dan RM4.1498 manakala paras rintangan antara RM4.1615 dan RM4.1670. 

"Sepanjang minggu ini dengan cuti umum semalam, ringgit mengukuh sejak 8 Oktober, menokok 0.31% kepada RM4.155. 

"Indeks FBM KLCI pula ditutup rendah susut 0.34% kepada 1,495.2 mata," katanya dalam nota kajian. 

Berbanding mata wang utama lain, ringgit mengukuh 0.32% kepada RM4.873 berbanding euro dan 1.07% kepada 5.398 berbanding pound sterling. 

"Untuk serantau, ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura, menokok 0.24% kepada RM3.046," katanya. 

Menurut firma penyelidikan itu, harga minyak Brent susut 3.76% kepada AS$37.65 setong manakala West Texas Intermediate rugi 3.26% kepada AS$36.17 setong. 

Katanya, kedua-duanya berada pada paras rendah sejak 29 Mei lalu disebabkan kemungkinan sekatan pergerakan akan memberi kesan kepada permintaan minyak. 

"Dolar AS pula mengukuh 0.59%, tertinggi dalam tempoh dua minggu ini, disokong oleh penawaran aset selamat apabila kes COVID-19 semakin meningkat yang boleh menjejaskan semula pemulihan ekonomi yang sememangnya masih rapuh," katanya. - DagangNews.com