Ringgit mengukuh dibuka tinggi | DagangNews Skip to main content

Ringgit mengukuh dibuka tinggi

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Ringgit pagi ini meneruskan momentum apabila mengukuh kepada RM4.0710/0760 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Mata wang tempatan itu semalam ditutup pada RM4.0750/0800, setelah harga minyak mentah meningkat sedikit meskipun pelabur masih tertunggu-tunggu hasil mesyuarat pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) yang ditangguhkan kepada 3 Disember.    

 

HLIB Research berkata, harga minyak mentah kembali meningkat dengan harapan OPEC+ dapat mencapai kata sepakat untuk mengurangkan pengeluaran. 

 

Namun, katanya, kelemahan semalaman dolar AS akan terus memberi kelebihan kepada ringgit. 

 

"Bagaimanapun, sentimen berhati-hati akan mengekang ringgit/dolar AS dalam julat terakhir. Kami mengekalkan pandangan neutral kepada kukuh bagi ringgit. 

 

"Ringgit dijangka berlegar antara RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar AS minggu ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgi hari ini diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0614 dan RM4.0703 manalala paras rintangan antara RM4.0855 dan RM4.0946. 

 

Dolar AS, katanya, menyusut 0.21% kepada 91.118, masih dalam paras terendah dalam tempoh lebih 2 tahun di sebalik jangkaan berterusan terhadap rangsangan fiskal AS. 

 

"Harga minyak terus melonjak dengan Brent meningkat 1.75% kepada AS$48.25 setong manakala West Texas Intermediate naik 1.64% kepada AS$45.28 setong," katanya. 

 

Pasaran kini masih menunggu keputusan OPEC+ dan dalam masa sama langkah Britain meluluskan vaksin COVID-19 meningkatkan keyakinan terhadap permintaan yang akan pulih. - DagangNews.com