Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Mac - Ringgit meneruskan aliran penurunan dalam dagangan pagi ini dibuka pada RM4.1330/1380 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Mata wang tempatan itu semalam ditutup rendah pada RM4.1290/1320 ekoran meningkatnya kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan COVID-19 di peringkat global.
HLIB Research mengubah saranan neutral kepada lemah bagi dagangan ringgit/dolar AS memandangkan penghindaran risiko masih berterusan.
Menurut firma itu, mata wang utama semakin meningkat selepas mengukuh dalam sesi sebelumnya selepas indeks dolar AS mencecah paras tinggi, 92.61.
"Sentimen dolar AS yang semakin naik ini mungkin akan menyaksikan ringgit melepasi paras RM4.14 lebih cepat bila-bila masa berbanding jangkaan," katanya dalam nota kajian.
Semalam, ringgit merosot berikutan jangkaan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan ketika perintah berkurung terkini di Eropah serta potensi kenaikan cukai di AS yang mengekang minat risiko dan meningkatkan kebimbangan terhadap penawaran berlebihan.
Data yang dikeluarkan menunjukkan indeks harga pengguna (IHP) di United Kingdom semakin perlahan pada Februari 2021 manakala Malaysia pula menunjukkan IHP positif sejak setahun lalu.
HLIB Research berkata, IHP dijangka meningkat pada masa akan datang, mencecah sekitar 4.3 hingga 4.5% tahun ke tahun pada April-Mei ini dipengaruhi oleh kesan asas.
"Tetapi, pada masa sama, kami menjangkakan penurunan purata jangka panjang 2 hingga 3% pada bulan-bulan berikutnya, mengekalkan unjuran IHP tahun ini pada 2.2%," jelasnya.
Dalam kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia, semalam, IHP pada Februari 2021 meningkat 0.1% kepada 122.5 berbanding 122.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com