Ringgit susut 0.8% pada Ogos berikutan pengukuhan dolar AS - BNM | DagangNews Skip to main content

Ringgit susut 0.8% pada Ogos berikutan pengukuhan dolar AS - BNM

KUALA LUMPUR 30 Sept - Ringgit susut 0.8% pada Ogos berikutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus kukuh, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Dalam laporan sorotan bulanan pada Ogos itu, FBM KLCI sebaliknya meningkat 1.3% disokong aliran masuk asing dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang lebih kukuh daripada jangkaan. 

 

Menurut bank pusat, keadaan kewangan global pada bulan berkenaan menjadi ketat apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) menegaskan komitmennya untuk menurunkan inflasi AS meskipun jangkaan pertumbuhannya lebih rendah. 

 

"Pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur dalam keadaan ketidaktentuan pertukaran asing
yang rendah dan jumlah dagangan yang mencukupi.

 

"Kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 10 mata asas seiring dengan kadar hasil bon Perbendahaarn AS 10 tahun yang lebih tinggi," katanya hari ini. 

 

Pada bulan berkenaan, sistem perbankan terus mencatatkan kedudukan permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan terus menyokong aliran kredit ke dalam ekonomi.

 

Keadaan itu membolehkan beberapa bank mengekalkan pembayaran dividen pada Ogos. Pada akhir bulan tersebut, sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal sebanyak RM126.7 bilion.

 

Menurut BNM, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil masing-masing pada 1.84% (Julai: 1.85%) dan 1.1% (Julai: 1.2%) manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat iaitu 113.7% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman.

 

Setakat akhir Ogos, katanya, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan sebanyak RM41.5 bilion.

 

Pembiayaan bersih meningkat sebanyak 6.1% pada akhir Ogos (Julai: 5.3%), didorong pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (6.8%; Julai: 5.9%) dan bon korporat (4.3%; Julai: 3.7%).

 

Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 6.5% (Julai: 6.1%) dalam keadaan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan.

 

"Yang penting, pertumbuhan pengeluaran pinjaman mencerminkan pertumbuhan permohonan pinjaman yang mampan, terutamanya untuk pembelian rumah dan kereta," jelasnya.

 

BNM berkata, bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 6.7% (Julai: 5.9%), didorong terutamanya oleh sektor perdagangan borong, perkilangan dan utiliti.

 

Pada masa hadapan, katanya, pertumbuhan global yang sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah dijangka menjejaskan pertumbuhan eksport Malaysia.

 

"Kepelbagaian eksport Malaysia merentasi produk dan pasaran dijangka membantu mengurangkan kesan terjejas ini," jelasnya.- DagangNews.com