Ringgit terus merosot berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit terus merosot berbanding dolar AS

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 5 Feb. - Ringgit meneruskan aliran penurunan dibuka rendah pagi ini pada RM4.0630/0675 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

HLIB Research menjangkakan ringgit akan terus melemah daripada neutral dalam dagangan hari ini. 

 

Katanya, kenaikan dolar AS semalaman menjadikan ringgit/dolar berlegar di atas paras RM4.06, melebihi unjuran julat mingguan antara RM4.03 hingga RM4.06.  

 

"Keyakinan yang meningkat terhadap pakej rangsangan dan data ekonomi AS yang kukuh dijangka terus menyokong mata wang utama ini dalam tempoh terdekat. 

 

"Namun, terdapat kemungkinan ia dapat kembali kepada paras selesa sekitar RM4.05 berbanding dolar AS," katanya dalam nota kajian. 

 

Semalam, ringgit ditutup pada RM4.0570/0600 berbanding dolar AS daripada RM4.0490/0530 semasa ditutup pada Rabu.

 

Ini berikutan ringgit bergelut disebabkan dolar AS yang kukuh dan hasil AS yang lebih tinggi, memberi tekanan kepada pertukaran asing Asia. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0346 dan RM4.0453 manakala paras rintangan ditambat pada RM4.0664 dan RM4.0733. - DagangNews.com