Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Dis. - Ringgit meneruskan momentum pengukuhan apabila dibuka tinggi melepasi paras RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan pagi ini.
Mata wang itu diniagakan pada RM4.0470/0530, daripada penutupan Jumaat, RM4.0500/0550 selepas pasaran mendapat rangsangan dengan kenaikan harga minyak Brent melebihi AS$50 setong buat kali pertama sejak Mac.
Dalam dagangan Jumaat lalu, ringgit berlegar hingga mencecah paras tertinggi sejak Julai 2018, pada RM4.083 berbanding dolar AS, mengatasi kerugian yang dialami akibat wabak COVID-19.
AmBank Research berkata, di sebalik pengukuhan dolar AS, kenaikan itu juga didorong aliran masuk dalam pasaran bon dan juga lonjakan harga minyak sepanjang minggu lalu.
Indeks FBM KLCI juga mengukuh 1.82% mencecah paras tertinggi 18 bulan ekoran meningkatkan pembelian terhadap sektor berkaitan perbankan.
"Setakat tahun ini, ringgit sudah mengukuh 1.3% berbanding dolar AS" katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0397 dan RM4.0446 manakala paras rintangan antara RM4.0579 dan RM4.0636.
Dolar AS kembali menokok 0.17% kepada 90.976 tetapi masih berlegar pada paras rendah 2 tahun berikutan meningkatnya kebimbangan penangguhan rangsangan fiskal AS apabila kes COVID-19 semakin meningkat.
Menurut Reuters, harga minyak pada Isnin kembali melonjak Brent melepasi paras AS$50 setong didorong oleh harapan pelancaran vaksin COVID-19 akan meningkatkan permintaan bahan api global.
Niaga hadapan Brent bagi Februari naik 8 sen atau 0.2% kepada AS$50.05 setong setakat 0137 GMT manakala West Texas Intermediate bagi Januari pula meningkat 4 sen atau 0.1% kepada AS$46.61 setong.
Harga minyak mencatat peningkatan bagi tempoh 6 minggu berturut-turut, tempoh kenaikan paling panjang sejak Jun. - DagangNews.com