RIUH Sokmo! Bersama Celcom sasar kehadiran lebih 20,000 pengunjung | DagangNews Skip to main content

RIUH Sokmo! Bersama Celcom sasar kehadiran lebih 20,000 pengunjung

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Kumpulan MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative) dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad (Celcom) menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung ke Kembara RIUH Keluarga Malaysia (KRKM) di Mini Majlis Daerah Ketereh dan Padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, Kelantan bermula 16 hingga 18 September 2022.

 

Unit Komunikasi Korporat MyCreative dalam satu kenyataan berkata, program yang juga dikenali sebagai RIUH SOKMO! Bersama Celcom itu antara lain bertujuan untuk memperkasa penggiat industri kreatif tempatan di seluruh negara, mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memulihkan industri kreatif susulan pandemik COVID-19.

 

Pelbagai aktiviti komuniti dan bengkel kreatif serta pertunjukan kebudayaan seperti wayang kulit, dikir barat, rebana ubi, perahu kolek, silat tari akan dibawakan selain persembahan artis seperti kugiran Masdo, Faizal Tahir, Datuk Ramli Sarip, Wings dan ramai lagi.

 

"Sehingga kini, program KRKM telah mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan serta menyokong 1,803 penggiat seni dan usahawan industri kreatif seluruh negara manakala sasaran keseluruhan program ini dijangka mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan dan menyokong lebih 5,000 penggiat dan pengusaha industri kreatif tempatan di 14 lokasi seluruh negara.

 

"Program KRKM yang bermula pada awal tahun 2022 itu pada mulanya hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang telah melebarkan sayap ke Johor, Sabah dan Melaka dalam usaha membantu penggiat industri seni yang terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya.

 

Usaha kerajaan melalui MyCreative ini terbukti berjaya menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan daripada 10 cabang industri termasuk muzik, seni persembahan, kandungan kreatif, sastera, seni reka, seni kebudayaan dan tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif.

 

KRKM

 

Industri kreatif diiktiraf kerajaan sebagai salah satu industri strategik berimpak tinggi yang diberi tumpuan khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan ia disasarkan menyumbang sebanyak RM31.9 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2025.

 

KRKM

 

"Program KRKM itu juga berupaya mencipta peluang dalam menjana pendapatan hasil seni kreatif dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara bagi mencapai sasaran ini," katanya. - DagangNews.com