Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$115.49 bilion pada akhir Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$115.49 bilion pada akhir Mac 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$115.49 bilion pada akhir bulan Mac 2023, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$1 bilion pada akhir bulan Mac 2023.

 

Dalam makluman terperinci rizab antarabangsa setakat akhir Mac 2023 dikeluarkan hari ini, BNM berkata aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing bagi tempoh 12 bulan akan datang berjumlah AS$15.3 bilion.

 

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan bil antara bank dalam mata wang asing BNM.

 

Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS%25.7 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” jelas bank pusat itu dalam maklumat tersebut.

 

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, BNM berkata data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

 

Selain itu, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.25 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

BNM berkata, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$371 juta.

 

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

 

BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” tambahnya.

 

Secara keseluruhan, katanya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format ‘Special Data Dissemination Standard’ (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Mac 2023 tetap boleh guna. -DagangNews.com