RM1.1 bilion untuk lebih 16,000 pelajar tajaan Yayasan Tenaga Nasional | DagangNews Skip to main content

RM1.1 bilion untuk lebih 16,000 pelajar tajaan Yayasan Tenaga Nasional

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

SHAH ALAM 3 Sept. - Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) hari ini menganugerahkan 93 lagi pelajar cemerlang dengan Biasiswa YTN, dalam suasana ekonomi dan perniagaan yang kurang menentu. 

Walaupun landskap perniagaan semakin mencabar ketika ini, TNB masih meneruskan usaha dan komitmennya membantu pelajar-pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Sejak ditubuhkan pada 1993, YTN telah membelanjakan lebih RM1.1 bilion dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada lebih 16,000 pelajar cemerlang melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. 

Tajaan pengajian ini adalah sebahagian daripada sumbangan TNB kepada masyarakat di bawah program Tanggungjawab Korporat (CR) yang meliputi bidang pendidikan, selain sosio-ekonomi, dan pemuliharaan alam sekitar.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, TNB berkeyakinan bahawa pendidikan menjadi aset penting yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan yang lebih baik kepada keluarga dan generasi akan datang.

“TNB dan YTN berhasrat dapat membentuk pelajar-pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memperkasakan bakat kepimpinan yang tinggi dalam diri mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Biasiswa YTN 2020 di Bangi.
 

tnb
Mahdzir Khalid (dua, kanan) menyampaikan surat tawaran biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) kepada Haziq Ikram Mohd Yazid, disaksikan Amir Hamzah Azizan (paling kanan); Dr. Ibrahim Hussein (tiga, kiri); dan Abd. Ghafar Mahmud (paling kiri) di Bangi, hari ini.
 

Pada majlis itu, beliau menyerahkan anugerah biasiswa kepada 93 pelajar terpilih daripada 7,700 pemohon untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi tahun akademik 2020.  Daripada jumlah itu, 73 pelajar melanjutkan pengajian di UNITEN manakala 20 lagi di universiti luar negara.

Menurutnya, tajaan ini juga adalah komitmen berterusan TNB dalam membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membangunkan modal insan menerusi pendidikan.

Turut hadir, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Pegawai Insan TNB, Dato’ Muhammad Razif Abdul Rahman; Pengarah YTN, Dato’ Ir Dr. Ibrahim Hussein dan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof. Dato’ Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha serta ahli Lembaga Pemegang Amanah YTN, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud. - DagangNews.com
 

TNB
Nurul Adlina Shamsul Kamal, Chua Shang Hang dan Darshana Vigneswaran, masing-masing bakal melanjutkan pengajian di luar negara, adalah antara 93 pelajar yang menerima anugerah biasiswa tajaan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda mulai tahun akademik 2020 di Bangi, hari ini.