RM132,200 jumlah 'one-off' industri pelancongan Terengganu | DagangNews Skip to main content

RM132,200 jumlah 'one-off' industri pelancongan Terengganu

Terengganu

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Pemain industri pelancongan negeri Terengganu yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan PKP 2.0 bakal menerima insentif secara 'one-off' dengan jumlah peruntukan sebanyak RM132,200.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri,  Ariffin Deraman berkata, insentif tersebut akan diagihkan dalam jumlah yang berbeza iaitu RM400 dan RM250.

 

"50 penarik beca dan 18 pemandu bot penambang masing-masing akan menerima RM400.

 

"Insentif RM250 pula akan diberikan kepada 44 pemandu teksi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), pemandu pelancong yang masih aktif (99 orang), pemandu dan pekerja rumah bot Tasik Kenyir (244 orang) serta malim gunung (33 orang)," katanya dalam satu sidang media seperti dilapor Bernama.

 

Insentif tersebut akan dimasukkan ke akaun bank penerima seawal minggu hadapan.

 

Mengulas berkaitan impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan, beliau memberitahu, sektor pelancongan khususnya menghadapi kerugian yang besar akibat pandemik tersebut.

 

Katanya, rumah bot di Tasik Kenyir yang awalnya menerima tempahan penuh hingga Mac tahun ini terpaksa dibatalkan akibat PKP 2.0.

 

Perkara tersebut sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha dan pekerja rumah bot berkenaan.

 

Kerajaan Terengganu turut merangka strategi mempromosikan produk pelancongan dalam kalangan penduduk setempat.

 

Strategi tersebut adalah sebagai satu persediaan sekiranya larangan rentas negeri masih dilaksanakan.

 

“Kita memang akan buat promosi antara daerah ke daerah yang lain bagi menghidupkan pusat pelancongan di negeri ini.

 

"Kita juga yakin akan sampai satu masa merentas negeri dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan pada waktu itu kita harapkan industri pelancongan Terengganu kembali rancak,” tambah beliau lagi. - DagangNews.com