RM14 juta untuk PKS, syarikat permulaan - MDEC | DagangNews Skip to main content

RM14 juta untuk PKS, syarikat permulaan - MDEC

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 April - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah meluluskan geran bernilai RM10.5 juta yang akan dimanfaatkan oleh 50 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat permulaan. 

 

Sebanyak RM3.5 juta pula dalam proses pembayaran bagi tuntutan geran kepada 20 penerima, kebanyakannya dari industri kandungan kreatif digital.

 

Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, menerusi inisiatif geran itu, MDEC akan membantu PKS dan syarikat permulaan untuk memastikan mereka dilengkapi dengan alat, platform dan kemahiran yang diperlukan. 

 

Rais Hussin Mohamed Ariff

 

“MDEC terus menerajui dan mempercepatkan agenda digital kebangsaan. 

 

“Geran-geran ini merupakan bukti kepada komitmen teguh kami untuk memastikan tiada yang tertinggal sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Malaysia 5.0,” katanya dalam sebuah kenyataan. 

 

Menerusi MDEC, kerajaan secara aktif menawarkan geran untuk mendorong inovasi, menyokong penciptaan harta intelek baharu, dan meningkatkan penggunaan automasi perniagaan untuk menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

 

Peruntukan geran itu merupakan sebahagian daripada inisiatif MDEC di bawah Geran Kandungan Digital (DCG) dan Geran Automasi Pintar (SAG) yang direka untuk menggalakkan PKS serta syarikat permulaan menggunakan teknologi dan kemahiran digital baharu.

 

Selain memperkasa penggunaan teknologi dalam kalangan perniagaan tempatan, inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada tiga tonggak kerangka kerja strategik MDEC iaitu Kemahiran Digital, Pekerjaan, Perniagaan dan Pelaburan Digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri yakin bahawa dengan peningkatan geran itu, PKS dan syarikat permulaan Malaysia dapat terus melonjakkan momentum dan maju dalam waktu yang mencabar ketika ini. 

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

“Sejak dibangunkan pada 1996, MDEC komited dalam menawarkan kepimpinan untuk membolehkan dan memacu ekonomi digital bergerak ke hadapan. 

 

“Kami akan terus cakna keperluan industri dan berusaha untuk meningkatkan keupayaan, kapasiti dan kemudahan kami ke arah mencapai masyarakat teknologi yang berintegrasi sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital),” katanya menerusi kenyataan sama. - DagangNews.com