RM2,000: Gaji terendah jawatan profesional dan teknikal 2021 | DagangNews Skip to main content

RM2,000: Gaji terendah jawatan profesional dan teknikal 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Kadar RM2,000 menjadi purata gaji bulanan terendah di beberapa industri utama Malaysia bagi jawatan profesional dan teknikal menjelang tahun 2021.

Berdasarkan Panduan Gaji 2021/21 dikeluarkan oleh Kelly Services, tiga jawatan iaitu pembantu sumber manusia, penyelia eksekutif gudang dan pengawal stok menawarkan gaji RM2,000 dengan kadar maksimum antara RM3,500 hingga RM4,500.

Ketiga-tiga jawatan itu meliputi tiga industri iaitu sumber manusia dan pentadbiran serta rantaian bekalan dan logistik.

Dalam panduan sama, gaji minimum bulanan tertinggi iaitu RM40,000 ditawarkan untuk jawatan Ketua Pegawai Kewangan di syarikat multi nasional melibatkan industri kewangan dan perakaunan. 

Jawatan itu boleh ditawarkan pada kadar maksimum iaitu, RM60,000 sebulan. 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Kelly Services Malaysia, Brian Sim berkata, panduan gaji yang dikeluarkan itu bertindak sebagai rujukan untuk sumber manusia dan pemimpin syarikat berdepan cabaran, kesukaran, trend dan peluang yang ada dalam ekonomi serta pasaran buruh ketika COVID-19.

 

Brian Sim
Brian Sim

 

“Bagi merancakkan pertumbuhan, adalah penting untuk kerajaan menumpukan terhadap sokongan dan usaha pemulihan dengan menyediakan bantuan sosial tinggi terhadap golongan berpendapatan lebih rendah, menambah baik penyampaian program perlindungan sosial, mempromosi pemulihan pekerjaan selain meningkatkan pembangunan modal insan,” kata Sim. 

Panduan gaji yang dikeluarkan itu mencakupi lapan sektor utama di Malaysia iaitu perkhidmatan perbankan dan kewangan, kejuruteraan, kewangan dan perakaunan, sumber manusia dan pentadbiran, teknologi maklumat, hartanah dan pembinaan, jualan dan pemasaran serta rantaian bekalan dan logistik. 

Dalam kenyataan akhbar berbeza, panduan gaji oleh Kelly Services itu mendedahkan bahawa terdapat keperluan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan seterusnya merendahkan kadar pengangguran.

“Laporan ini juga menekankan kemahiran digital, iaitu permintaan utama oleh majikan di kesemua industri. 

“Disebabkan oleh penularan COVID-19, kerajaan telah mengambil langkah untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini telah mencetuskan gelombang transformasi digital di kesemua organisasi, sekali gus meningkatkan permintaan kemahiran tinggi yang dapat mengadaptasi teknologi baharu dengan pantas,” jelas kenyataan itu. 

Ketika penularan COVID-19, dua pekerjaan yang menjadi tumpuan para majikan adalah teknologi maklumat serta jualan dan pemasaran. 

Jelas Kelly Services, pelaksanaan kerja secara mudah alih atau dari rumah telah mendorong penggunaan kolaborasi perisian, simpanan data awan serta teknologi maju seperti artificial intelligence (AI) dan pembelajaran mesin.

Bagi jawatan jualan dan pemasaran, pembelian dalam talian menjadi sebuah norma buat rakyat Malaysia dan ini menawarkan banyak peluang kepada profesional yang berminat dalam bidang tersebut memandangkan setiap organisasi berusaha meningkatkan ‘kehadiran’ mereka dalam talian dan media sosial. - DagangNews.com