SALAH satu fasiliti kesihatan FGV di Pahang. - Gambar FGV
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 20 Mei - FGV Holdings Berhad (FGV) telah memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta untuk menaik taraf tiga klinik dan membina tiga klinik baharu di ladang miliknya.
Ini bertujuan memenuhi komitmen berterusan syarikat terhadap hak asasi manusia, khususnya melibatkan kesihatan bagi semua pekerja, jelas kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Pengarah Bahagian Perladangan Kumpulan FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain berkata, pembinaan fasiliti kesihatan di ladang-ladangnya sangat penting untuk memudahkan akses kepada penjagaan kesihatan buat semua pekerja FGV.
Akses sedemikian menjadi lebih penting ketika situasi COVID-19 yang melanda, tambah beliau.
“FGV berusaha untuk memastikan bahawa semua pekerja ladang kami memiliki akses kepada perkhidmatan dan fasiliti kesihatan.
“Dengan klinik-klinik baharu ini yang berada di bawah bimbingan Kementerian Kesihatan, pekerja kami akan mendapat akses yang lebih baik dan lebih mudah untuk mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.
Peruntukan tersebut merangkumi perbelanjaan untuk kos pembinaan bangunan, pembelian peralatan perubatan, ubat-ubatan, kemudahan komunikasi, ambulans dan keperluan lain.
Sehingga kini, FGV mempunyai 12 klinik di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit luar kepada pekerja ladang tempatan dan migran, termasuk lima di Sabah, empat di Semenanjung Malaysia dan tiga di Sarawak.
Tiga bangunan pejabat di Aring 6, Kelantan, Lepar 11, Pahang dan Sahabat 36, Sabah telah diubahsuai dan dijadikan klinik perladangan FGV.
Sementara itu, tiga bangunan klinik baharu telah dibina di ladang FGV di Selendang 3 dan Kechau 6 di Pahang, dan di Sampadi 4, Sarawak.
Ladang-ladang ini dipilih memandangkan lokasi terpencil mereka yang jauh dari fasiliti kesihatan yang ada, kata FGV.
Sebuah klinik baru sahaja siap dibina di Sampadi dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2021.
Klinik berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 400 pekerja ladang dan hampir 200 pekerja di lima ladang FGV iaitu Sampadi 1, 3, 4, 5 dan 6.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, pembinaan klinik di ladang Ladang Bera Selatan 4 FGV di Pahang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
Klinik itu akan menyediakan akses penjagaan kesihatan untuk 1,319 pekerja di ladang FGV berdekatan.
Sementara di Sabah, FGV kini dalam perancangan untuk mewujudkan klinik bergerak untuk pekerja di ladang Sahabat.
Tambahan pula, demi mewujudkan FGV One Stop Centre (FGV OSC) yang holistik, sebuah klinik akan dibina di FGV OSC di Gemencheh, Negeri Sembilan bagi memudahkan pemeriksaan perubatan buat pekerja migran FGV seperti yang dikehendaki oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA). - DagangNews.com