Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Jumlah perbelanjaan sebenar pemberian kerajaan kepada golongan B40 dan M40 berjumlah RM34.6 bilion bagi tempoh hingga suku ketiga 2020.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, pemberian tersebut merangkumi subsidi, insentif dan bantuan berdasarkan kepada keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
"Penerima subsidi, insentif dan bantuan ini bukan sahaja dari golongan B40 malah M40.
"Perbelanjaan sebenar pemberian kerajaan sehingga suku ketiga tahun 2020 adalah berjumlah RM34.6 bilion.
"RM18.2 bilion dibiayai di bawah peruntukan belanjawan 2020 dan RM16.4 bilion dibiayai di bawah Kumpulan Wang COVID-19 merangkumi pelbagai sektor antaranya sektor pertanian, sektor kepenggunaan, sektor pengangkutan, sektor keselamatan, sektor komuniti dan keagamaan, sektor kesihatan dan pendidikan termasuklah bantuan sara hidup dan kebajikan masyarakat, bantuan faedah pinjaman serta pemberian elaun," jelasnya ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim-Bandar Bharu) di Dewan Rakyat hari ini.
Jawapan tersebut diberikan setelah Saifuddin meminta Menteri Kewangan menyatakan senarai semua jenis bantuan kepada rakyat kelompok B40 dan M40 dan jumlah sebenar perbelanjaan dibiayai kerajaan.
Tambah Shahar, jumlah yang dinyatakan itu merangkumi 10 sektor seperti berikut;
- Sektor Pertanian
- Sektor Kepenggunaan
- Sektor Pengangkutan
- Sektor Keselamatan
- Sektor Komuniti dan Keagamaan
- Sektor Kesihatan
- Sektor Pendidikan
- Bantuan Sara Hidup dan Kebajikan Masyarakat
- Bantuan Faedah Pinjaman
- Pemberian Elaun dan Lain-lain bantuan
Mengulas lanjut, Shahar berkata, jumlah perbelanjaan tersebut juga termasuk dengan beberapa bantuan lain yang diumumkan kerajaan.
"Perbelanjaan ini juga termasuk Bantuan Prihatin Nasional, tambahan Bantuan Sara Hidup, bantuan tambahan kepada golongan mudah terjejas seperti OKU dan ibu tunggal serta bantuan tunai secara one-off yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi.
Berikut merupakan perincian dan ringkasan peruntukan (dipinda) dan perbelanjaan sebenar hingga suku tahun ketiga;