RM5.41 bilion ekuiti ‘hangus’ sejak awal 2021 | DagangNews Skip to main content

RM5.41 bilion ekuiti ‘hangus’ sejak awal 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 April - Pasaran saham tempatan menyaksikan aliran keluar bersih berjumlah RM5.41 bilion nilai ekuiti oleh pelabur asing dan institusi tempatan sejak awal tahun ini.

 

Sebanyak RM3.64 merupakan nilai jualan bersih oleh pelabur institusi, sementara pelabur asing pula mencatatkan jualan bersih berjumlah RM1.77 bilion, menurut MIDF Research. 

 

Kata firma penyelidikan itu, secara terkumpul, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih di pasaran ekuiti Malaysia dengan nilai sama, RM5.41 bilion.

 

Pada minggu lalu yang berakhir 9 April, ujar MIDF, aliran keluar bersih asing mencecah -RM77.90 juta. 

 

“Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin, pelabur asing menjual bersih -RM41.54 juta nilai ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan, kedua-duanya menjadi pembeli dan penjual bersih, masing-masing bernilai RM60.65 juta dan -RM18.91 juta.

 

“Pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari kecuali pada Rabu. Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Selasa, bernilai -RM94.58 juta dan terendah pada Isnin, -RM41.54 juta.

 

“Satu-satunya aliran masuk dicatatkan pada Rabu iaitu bernilai RM151.59 juta,” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini.

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan penjual bersih setiap hari, kecuali pada Rabu. 

 

Tambah MIDF, pembelian bersih tertinggi oleh golongan itu dicatatkan pada Isnin bernilai RM60.45 juta dan terendah pada Khamis, RM7.87 juta. 

 

Secara terkumpul, pelabur runcit membeli bersih RM88.84 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia pada minggu lalu. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula mencatatkan aliran keluar terkumpul berjumlah -RM10.92 juta.

 

“Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan asing mencatatkan penurunan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV), masing-masing sebanyak -7.00%, -9.77% dan -7.21%.

 

Pada tempoh sama, Public Bank Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dan Top Glove Corporation Berhad mencatatkan aliran masuk tertinggi, masing-masing bernilai RM3.50 juta, RM3.25 juta dan RM3.18 juta.

 

Sementara itu, Serba Dinamik Holdings Berhad, Axiata Group Berhad dan Petronas Gas Berhad pula menyaksikan aliran keluar terbesar, masing-masing bernilai -RM4.24 juta, -RM3.17 juta dan -RM2.02 juta. - DagangNews.com