RM6.1 bilion dibelanjakan untuk Geran Khas Prihatin - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

RM6.1 bilion dibelanjakan untuk Geran Khas Prihatin - Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Setakat 15 Julai 2021, lebih 99% daripada penerima Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 dan GKP Tambahan telah berjaya menerima bantuan kewangan sepenuhnya. 

 

Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada hampir 1 juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara bernilai RM6.1 bilion, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

“Kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS Mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-65 hari ini. 

 

Bagi Geran Pendigitalan PKS, sebanyak RM82.32 juta telah disalurkan kepada 30,938 PKS dalam bentuk geran padanan setakat 30 Julai lalu, tambah Tengku Zafrul.

 

Sebagai rekod, Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan geran padanan berjumlah 50% sehingga RM5,000 bagi membantu PKS untuk mengguna pakai perkhidmatan pendigitalan dalam operasi perniagaan harian. 

 

Setiap PKS dibenarkan untuk memohon sehingga tiga jenis perkhidmatan dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan pendigitalan yang berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). 

 

Geran ini dibekalkan oleh kerajaan untuk tempoh lima tahun bermula 17 Februari 2020 atau apabila mencapai 100,000 permohonan, yang mana terdahulu. 

 

Setakat tempoh sama juga, sejumlah RM79.25 juta telah disalurkan kepada 13,877 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.

 

Ini merupakan bantuan yang disalurkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), di mana kerajaan memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi membantu dan menggalak PKS serta syarikat di peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan. 

 

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi PKS dan PKS Mikro (dalam sektor pelancongan) yang masih terkesan dengan penularan COVID-19. 

 

“Setakat 30 Julai, terdapat 680 permohonan bagi pembiayaan ini, dan daripada jumlah ini sebanyak 336 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM66.6 juta,” jelas Tengku Zafrul. - DagangNews.com