RM900 bilion permohonan peruntukan untuk RMK-12 | DagangNews Skip to main content

RM900 bilion permohonan peruntukan untuk RMK-12

Malaysia

KUALA LUMPUR 5 April - Sebanyak RM900 bilion permohonan kewangan diterima kerajaan bagi melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah permohonan yang diterima daripada kementerian, kerajaan negeri dan agensi itu lebih tinggi berbanding RMKe-11 berikutan situasi semasa akibat COVID-19.

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed.

 

"Untuk tahun ini saja, kerajaan memperuntukkan RM69 bilion daripada RMK-12, iaitu antara jumlah tertinggi bagi peruntukan setahun dengan kebanyakan disalurkan kepada sektor kesihatan.

 

"Semua memahami bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menangani COVID-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi. 

 

"Jadi, kebanyakan sumber disalurkan untuk langkah memerangi pandemik kerana bagi kerajaan nyawa rakyat adalah sangat penting," katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, permohonan yang diterima itu akan dinilai kepada keperluan semasa seiring dengan keutamaan untuk melawan pandemik.

 

Ujarnya, terdapat dua keutamaan yang menjadi pertimbangan kerajaan daripada peruntukan berjumlah RM69 bilion tahun ini adalah vaksin dan memastikan rakyat memiliki wang untuk menyara kehidupan sekeluarga.

 

Menurutnya, keutamaan pertama yang menjadi perhatian kerajaan adalah vaksin dengan peruntukan jumlah perbelanjaan yang besar.

 

Keutamaan kedua katanya, ia adalah untuk memastikan rakyat Malaysia memiliki wang bagi menampung kehidupan dan kerajaan perlu membantu golongan yang memerlukan selepas pendapatan mereka terjejas akibat pandemik.

 

Dalam RMK-12 itu juga, beliau memberitahu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada sektor ekonomi baharu dan industri bernilai tinggi yang mampu mencipta peluang ekonomi kepada rakyat.

 

Jelasnya, tumpuan itu adalah bagi mempercepatkan pembangunan industri berpotensi tinggi termasuk aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih maju, halal, industri kreatif, biomas dan pertanian pintar. - DagangNews.com