KUALA LUMPUR 10 Dis. - Tumpuan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bakal diarahkan kepada sektor ekonomi baharu dan industri bernilai tinggi yang mampu mencipta dan membuka peluang ekonomi kepada rakyat.
Kedua-dua tumpuan itu adalah bagi mempercepatkan pembangunan indsutri berpotensi tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih maju, halal, industri kreatif, biomas dan pertanian pintar.
Bagi merialisasikan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beberapa sektor ekonomi baharu akan dikenalpasti dalam RMK-12 untuk membawa ekonomi negara terus ke hadapan.
"Tumpuan akan diberikan dalam menarik pelaburan berkualiti yang menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang kompleks, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi, menggalakkan penggunaan input domestik yang lebih tinggi dan meningkatkan pembangunan di kawasan yang kurang diberi tumpuan," katanya dalam forum maya RMK-12 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia, seperti dilapor Berita Harian.
Forum yang dikendalikan oleh bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Mohd Sheriff Mohd. Kassim itu turut disertai oleh ahli panel lain seperti Prof Adjung Institut Antarabangsa Pengurusan dan Dasar Awam, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Pengerusi Royal Selangor International Sdn. Bhd., Tan Sri Yong Poh Kon.
Selain itu, Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof. Jomo Kwame Sundaram dan Ahli Ekonomi Kanan, Malaysian Rating Corporation Bhd, Firdaos Rosli turut bersama sebagai ahli panel.
RMK-12 adalah dokumen penting yang akan menjadi asas kepada negara untuk kembali pulih daripada pandemik COVID-19.
Menurut beliau, dokumen tersebut akan mencartakan laluan negara kepada ekonomi mampan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dengan mengambil kira dalam konteks kemakmuran bersama.
"Kerajaan akan memberi penekanan terhadap isu ekonomi dan pembaharuan institusi, sementara memastikan agenda kemampanan menjadi lebih jelas dalam pelan pembangunan nasional ini," tambah beliau lagi.
"Jangkaan yang diletakkan terhadap RMK-12 adalah tinggi dan saya mengakui untuk merumuskan rancangan itu adalah tugas yang berat.
"Kita memerlukan idea-idea berani dan radikal untuk menangani isu tertunggak yang lama, seperti aktiviti ekonomi bernilai tambah yang rendah, pengagihan pendapatan yang tidak setara dan jurang perbezaan kawasan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com