RMK-12: Pendapatan garis kemiskinan baharu bakal diperkenal | DagangNews Skip to main content

RMK-12: Pendapatan garis kemiskinan baharu bakal diperkenal

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kerajaan bakal memperkenalkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) baharu pada tahun hadapan, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

Semakan semula PGK itu bertujuan memastikan pendekatan membasmi kemiskinan lebih bersasar. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini adalah berikutan, PGK pada kadar RM2,208 adalah berdasarkan data negeri, bandar dan luar bandar, di mana pendekatan yang lebih tertumpu diperlukan. 

“Menangani kemiskinan secara berkesan merupakan salah satu agenda utama di bawah RMK-12. 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

“Apa yang penting, kita lebih tertumpu. Sebagai contoh, ketika ini kita ada kumpulan pendapatan B1, B2, B3 dan B4.

“Kumpulan B40 merupakan satu kategori, tetapi kini kita ada empat komponen,” katanya menurut laporan Bernama. 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Perbincangan Meja Bulat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC)-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. 

Pada Julai lalu, Malaysia menyemak semula PGK kepada RM2,208 berbanding RM980 yang telah digunapakai sejak tahun 2005.

Ini menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding hanya 16,653 pada kadar PGK sebelumnya. 

Nilai PGK telah dinilai dan dikaji semula dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menilai keperluan item makanan berdasarkan Pengambilan Nutrien 2017 (RNI) dan Panduan Diet Malaysia (PDM). - DagangNews.com