RMK-12: Strategi pemulihan ekonomi jangka panjang | DagangNews Skip to main content

RMK-12: Strategi pemulihan ekonomi jangka panjang

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 menjadi strategi kepada pemulihan ekonomi jangka panjang negara.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, strategi yang berada di peringkat akhir penyediaan itu mengambil kira pelbagai usaha untuk memulih dan memacu semula ekonomi yang terkesan disebabkan oleh COVID-19.

 

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup

 

"Bagi tempoh jangka panjang, penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12) kini berada dalam peringkat akhir. 

 

"Strategi yang akan dilaksanakan dalam RMKe-12 mengambil kira pelbagai usaha untuk memulih dan memacu semula ekonomi yang terkesan disebabkan oleh COVID-19 serta menangani isu struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan," jelasnya ketika menjawab soalan Senator Teo Eng Tee@Teo Kok Chee dalam sesi pemberitahuan pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

 

Jawapan tersebut dinyatakan bagi menjawab persoalan berkaitan keadaan ekonomi semasa serta cabaran yang sedang dihadapi oleh negara di samping langkah yang dirangka dalam memulihkan ekonomi Malaysia dari kesan pandemik.

 

Teo Eng Tee@Teo Kok Chee
Teo Eng Tee@Teo Kok Chee

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kesan negatif ke atas pertumbuhan ekonomi akibat COVID-19 yang mengeret penguncupan Keluaran dalam negeri kasar (KDNK) ke tahap -2.7% pada suku ketiga 2020 adalah bersifat sementara dan dijangka pulih pada tahun 2021.

 

 


Berikut merupakan antara inisiatif yang telah diambil untuk menggalakkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi;

 


1) Pertama, kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), pada 11 Mac 2020 bagi menangani isu-isu dan cabaran semasa ekonomi.

  • EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, juga memantau impak penularan wabak COVID-19 ke atas ekonomi serta merangka langkah-langkah untuk memulihkan dan merancakkan semula ekonomi negara

 

 


2) Kedua, kerajaan telah melaksanakan beberapa pakej rangsangan ekonomi iaitu;

  • Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac 2020
  • Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN TAMBAHAN) pada 6 April 2020
  • Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun 2020
  • Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin atau KITA PRIHATIN pada 23 September 2020

 

 

Tambah beliau, pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM305 bilion itu dilihat berjaya meringankan beban rakyat, mengekalkan pekerjaan dan menggerakkan semula aktiviti ekonomi. 

 

Belanjawan 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat juga memperkenalkan pelbagai langkah bagi memacu pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

 

"Ini merupakan belanjawan yang inklusif dan komprehensif, memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi. 

 

"Kesemua matlamat ini merupakan kesinambungan kepada pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, Penjana, dan Kita PRIHATIN yang telah diumumkan sebelum ini," ujar beliau lagi.

 

Dalam jawapan yang sama, beliau menambah, kerajaan memberi kepercayaan bahawa strategi dan langkah yang diambil untuk menangani kesan daripada pandemik COVID-19 mampu untuk membawa ekonomi negara kembali pulih, berdaya tahan dan mampan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. - DagangNews.com