RMKe-12: Kerajaan perlu bersikap lebih berani perkasa peranan sektor swasta | DagangNews Skip to main content

RMKe-12: Kerajaan perlu bersikap lebih berani perkasa peranan sektor swasta


KUALA LUMPUR 30 Sept – Kedudukan fiskal negara memerlukan kerajaan bersikap lebih berani untuk memperkasa peranan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, menerusi usaha seperti kerjasama sektor Awam-Swasta atau Public Private Partnership (PPP).

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini disebabkan sektor swasta mempunyai surplus atau lebihan dalam sumber kewangannya manakala kerajaan mempunyai defisit.

 

Namun demikian ujar beliau, kerajaan mesti memantapkan pengurusan kewangannya dengan memperbaiki sistem kutipan hasil dan menggunakan undang-undang sedia ada untuk menyeragamkan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (harmonization of sales and service tax) bagi memperbaiki prestasi kutipan hasil cukai.

 

‘’Ini dapat mengelakkan berlaku ketirisan dan ketidakpatuhan dalam pembayaran cukai yang boleh menjejaskan hasil negara,’’ katanya dalam ucapan membahas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan iaitu GLC dan GLIC perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan ekonomi dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

 

‘’GLC diminta supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita.

 

‘’Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara,’’ katanya.

 

Sehubungan itu ujar Muhyiddin, kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor-sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar.

 

Tumpuan juga kata beliau, perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan bagi memastikan pembangunan bakat dan modal insan memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi, di samping meneroka potensi pekerjaan baharu terutama melibatkan ekonomi gig dan yang berteraskan Era Teknologi Digital.

 

Menurutnya, kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

 

Setakat ini 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan.

 

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

 

Pada permulaan pelaksanaan RMKe-12 ini kata beliau, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang menganggur akibat pandemik COVID-19 perlu diberikan keutamaan.

 

‘’Penting dalam usaha kita untuk merangka strategi dan tindakan proaktif menyediakan bentuk-bentuk bantuan mengikut realiti yang didepani setiap rakyat pada hari ini, agar segala bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan memenuhi kehendak golongan yang benar-benar memerlukan.

 

‘’Antara cabaran besar kerajaan ialah menjana hasil negara untuk membiayai lebih banyak program pembangunan fizikal dan sosioekonomi,’’ kata Muhyiddin. – DagangNews.com