Rockwills catat lonjakan penulisan wasiat sebanyak 30% pada Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

Rockwills catat lonjakan penulisan wasiat sebanyak 30% pada Jun 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Rockwills International Group berjaya mencatatkan jumlah penulisan wasiat tertinggi dalam sejarah pada Jun 2022.

 

Kumpulan penulisan wasiat dan perancang harta pusaka terbesar di rantau ini merekodkan lonjakan sebanyak 30% dan ia berjaya dicapai meskipun dunia sedang menghadapi pelbagai cabaran semasa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azhar Iskandar Hew berkata, pencapaian itu adalah hasil peningkatan kesedaran tentang kepentingan menyediakan wasiat sebelum berlaku sebarang musibah pada masa hadapan.

 

"Pandemik yang berlaku sebelum ini memeri gambaran bahawa kehidupan terdedah kepada pelbagai kemungkinan dan penting bagi kita melakukan persediaan untuk melindungi orang tersayang.

 

"Kesedaran yang timbul itu telah menyumbang kepada perkembangan kumpulan ini," katanya dalam satu kenayataan, hari ini.

 

Sejak mula ditubuhkan pada 1995, Rockwills telah terlibat dalam menyediakan lebih 280,000 wasiat melibatkan pelbagai lapisan pelanggan.

 

Azhar berkata, dalam usaha untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, pihaknya akan membuka cawangan baharu di Ipoh, Melaka dan Kuantan dalam tempoh beberapa bulan ini.

 

"Kami perlu memenuhi keperluan pelanggan kami yang berada di luar Wilayah Tengah dan atas dasar itu kami akan membuka cawangan di Ipoh Garden South pada Ogos ini diikuti Melaka dan Kuantan sebelum berakhirnya tahun ini," katanya. 

 

Pada masa sama, Rockwills juga telah mengembangkan ibu pejabatnya melibatkan empat tingkat di Menara AmFirst di Petaling Jaya yang merangkumi Pusat Latihan dan Perniagaan, Pusat Khidmat Nasihat, Pusat Khidmat Penyelesaian Perniagaan dan Kewangan serta Pengurusan Legasi. - DagangNews.com