Rockwills lantik dua ketua pegawai eksekutif wanita ketuai kumpulan | DagangNews Skip to main content

Rockwills lantik dua ketua pegawai eksekutif wanita ketuai kumpulan

Lee Shet Mei (kiri) dan Tan Mei Yin (kanan) dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rockwills Trustees serta Rockwills Corporation.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Rockwills melantik Tan Mei Yin dan Lee Shet Mei masing-masing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk Rockwills Corporation dan Rockwills Trustees Berhad. 

 

Mei Yin dan Shet Mei merupakan ketua pegawai eksekutif pertama dilantik oleh kumpulan sekali gus memberi gambaran bahawa Rockwills memiliki kepercayaan terhadap pemerkasaan wanita di peringkat C-suite.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rockwills, Azhar Iskandar Hew berkata, sebagai sebuah kumpulan, pihaknya percaya terhadap prinsip berkecuali dan percaya tanpa mengira sebarang jantina, kesmeua mereka boleh memberikan sumbangan kepada perkembangan syarikat kerana ia adalah berdasarkan merit.

 

"Pelantikan ini menekankan kepercayaan kumpulan dan saya yakin Mei Yin serta Shet Mei akan menyediakan kepimpinan kukuh yang diperlukan untuk menerajui dua entiti perniagaan utama kami ke tahap yang lebih tinggi lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mei Yin memiliki ijazah dalam bidang undang-undang dari University of the West of England, Bristol, United Kingdom dan menyertai Rockwills pada 2010 sebagai jurulatih undang-undang selepas menjadi pengamal undang-undang selama tiga tahun.

 

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk memimpin Rockwills Corporation. Matlamat saya adalah untuk memupuk pasukan pemimpin yang berpandangan ke hadapan yang kukuh yang akan memacu perniagaan pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Shet Mei yang juga peguam memegang ijazah undang-undang dari Universiti London.

 

Beliau pada awalnya berkhidmat sebagai peguam sebelum menyertai Rockwills sebagai pengurus pada 2008 dengan pengalaman serta latihan undang-undangnya menyumbang kepada mengembangkan perniagaan kumpulan.

 

"Meritokrasi dan kesaksamaan sentiasa menjadi asas asas Rockwills.

 

"Saya berhasrat untuk mengukuhkan lagi pasukan undang-undang dan operasi kami sambil, pada masa yang sama, melaksanakan penyelesaian perancangan harta pusaka yang inovatif," katanya. - DagangNews.com