Romainor Ismail dilantik Pengarah Perolehan MDEC | DagangNews Skip to main content

Romainor Ismail dilantik Pengarah Perolehan MDEC

Romainor Ismail
Romainor Ismail 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC), agensi  utama  yang  menerajui  agenda  transformasi  digital negara mengumumkan pelantikan Romainor Ismail sebagai Pengarah Perolehan.

 

Romaino memulakan kerjayanya sebagai Pengatur Cara di DIGIERA pada 1999 dan kemudiannya berkhidmat dengan Maybank sebagai Ketua Pengurusan Vendor pada 2012 dan seterusnya menjadi Ketua Pengurusan Penyumberan & Kategori (Projek) di Celcom Axiata pada awal 2021.

 

Beliau akan bertanggungjawab dalam mengetuai, mengarah dan mengkoordinasi semua aspek aktiviti perolehan MDEC bagi memastikan pemerolehan barangan dan perkhidmatan dilaksanakan dengan kos yang berkesan dan berkualiti tinggi. 

 

Romainor juga ditugaskan untuk menguruskan kontrak, penilaian pilihan bekalan dan memastikan ketepatan rekod.

 

Sehubungan itu, beliau akan bekerjasama dengan pemegang taruh dalaman untuk memahami keperluan perniagaan, pembangunan strategi perolehan dan melaksanakan inisiatif untuk memberi pulangan yang terbaik kepada pemegang taruh.

 

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pelantikan Romainor adalah bukti komitmen berterusan pihaknya dalam menarik bakat terbaik dalam industri dan memperoleh pemimpin terbaik dalam pasukannya.

 

"Pengalaman dan kemahiran beliau dalam membangun, melaksana dan mengurus perancangan perolehan tahunan amat bersesuaian dengan usaha MDEC untuk menuju ke arah Malaysia 5.0, yang membolehkan negara terintegrasi dengan teknologi, menyediakan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Dalam aspek pendidikan, Romainor memegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia dan Ijazah Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi MARA. 

 

Beliau akan melapor kepada Ketua Pegawai Transformasi, Mohd Afdal Mohd Nayan.   

 

Mengulas perkara itu, Romainor berkata,  pelantikan tersebut merupakan satu pernghormatan kepadanya untuk berkhidmat dengan organisasi yang terkenal seperti MDEC. 

 

Menurutnya, menjadi sebahagian daripada pasukan MDEC akan memberi peluang kepada dirinya untuk berkhidmat dan memberi semula kepada negara serta rakyat.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri memberitahu, Romainor akan memperkenalkan dan melaksana perancangan jangka pendek dan panjang, objektif dan keberkesanan operasi perolehan.

 

"Ini akan memastikan MDEC mampu memberi impak yang berkesan dan lebih mapan," ujar beliau. - DagangNews.com