Rosmah didapati bersalah ketiga-tiga pertuduhan rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion | DagangNews Skip to main content

Rosmah didapati bersalah ketiga-tiga pertuduhan rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion

Datin Seri Rosmah Mansor - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 1 Sept - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

 

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap Rosmah.

 

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

 

Pada 18 Feb tahun lepas, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau, Bernama melaporkan.

 

Setelah  memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lepas. - DagangNews.com