Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Julai - Terdapat ruang yang terhad untuk sebarang pemotongan lanjut kadar dasar semalaman (OPR) memandangkan bank-bank pusat lain bersedia untuk mengembalikan dasar monetari mereka kepada paras normal dan inflasi global kian meningkat.
Dalam masa sama, UOB Research percaya terdapat juga sejumlah besar dana rangsangan yang tersedia untuk dibelanjakan menjelang akhir tahun, sekali gus megunjurkan OPR dikekalkan 1.75% sepanjang tahun ini.
Namun, melihatkan situasi semasa, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus mempertimbangkan sebarang perubahan ke atas OPR yang akan bergantung kepada perolehan data-data ekonomi, disebabkan oleh persekitaran pandemik yang masih tidak menentu.
“Tanpa sebarang pergolakan politik, program vaksinasi nasional (dengan sekitar 9.3% penduduk sepenuhnya divaksin setakat 7 Julai) dilihat berjalan dengan lancar ke arah mencapai sasaran 10% untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), seiring rancangan kerajaan untuk mengembangkan kapasiti penjagaan kesihatan untuk meringankan sebarang kekurangan.
“Lebih banyak vaksin dijadualkan akan dihantar ke Malaysia pada bulan ini (Julai) untuk terus mempercepatkan program imunisasi nasional. Buat masa ini, enam negeri iaitu Pulau Piinang, Pahang, Perak, Kelantan, Perlis dan Terengganu, telah dibenarkan untuk beralih ke Fasa 2 PPN dengan lebih banyak negeri dijangka turut beralih menjelang penghujung Julai ini.
“Oleh itu, kami kekal dengan pandangan bahawa OPR tetap pada kadar 1.75% bagi sepanjang tahun ini,” jelas UOB Research dalam satu nota kajian.
Semalam, BNM menerusi MPC mengekalkan OPR pada 1.75% dengan mengambil kira pemulihan ekonomi global yang kukuh disokong peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif, menurut BNM dalam satu kenyataan.
Jadual keputusan MPC seterusnya adalah pada 9 September dengan beberapa perkembangan domestik utama yang akan diperhatikan adalah kemas kini perintah kawalan pergerakan selepas pertengahan Julai ini, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), defisit fiskal dan hutang statutori serta persidangan Parlimen.
Senada itu, CGS-CIMB Research turut menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar OPR menjelang perjumpaan pada September dan November depan berdasarkan andaian lebih banyak sektor ekonomi bakal dibuka semula pada tempoh tersebut ketika negara beralih ke Fasa 3 PPN.
Keputusan untuk terus mengekalkan kadar OPR walaupun terdapat ketidakpastian yang lebih besar mengenai prospek KDNK menunjukkan bahawa dorongan untuk membuat potongan lanjut akan berlaku sekiranya wujud kemerosotan asas ekonomi yang lebih ketara dan berlarutan.
“Ini bermakna, faktor-faktor yang melewatkan usaha melonggarkan langkah-langkah pengekangan atau mencetuskan pengurangan kapasiti operasi lebih lanjut, tanpa langkah-langkah pemulihan yang sesuai dari kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), akan mendorong kepada perubahan dalam dasar monetari,” jelas firma penyelidikan itu. - DagangNews.com