Ruang STIE Keluarga Malaysia wujudkan golongan pemikir, semarakkan budaya inovasi - PM | DagangNews Skip to main content

Ruang STIE Keluarga Malaysia wujudkan golongan pemikir, semarakkan budaya inovasi - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera di Felda Bukit Puchong pada Sabtu. - Gambar MOSTI

BERA 16 Okt - Kewujudan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia diharap akan mewujudkan golongan pemikir yang dapat menghasilkan produk atau perkhidmatan untuk dikomersialkan sekali gus membantu negara memperkasa ekonomi berasaskan inovasi.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Ruang Reka STIE yang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), juga dapat menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti agar lebih ramai dapat bergiat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).  

 

Selain itu, beliau berkata  kerajaan turut mengajak inovator akar umbi, membantu membangunkan bidang inovasi negara secara terangkum dengan menjadikan inovasi sosial sebagai satu platform yang penting. 

 

"Konsep inovasi sosial semakin meraih perhatian dan minat yang amat ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perkembangan inovasi sosial di Malaysia juga amat menggalakkan dan kita turut dapat melihat peningkatan dalam bilangan perusahaan sosial.

 

Malah, inovasi sosial juga berpeluang menyelesaikan isu sosial yang mendesak kerana potensinya mewujudkan peluang pekerjaan melalui pasaran baharu yang boleh dibangunkan daripada idea inovator akar umbi," katanya ketika merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera di Felda Bukit Puchong di sini Sabtu, Bernama melaporkan.


 

PM

 


Inovasi sosial juga, menurut Ismail Sabri mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi bandar dan desa selain dapat mengetengahkan inovasi tradisional sebagai satu punca ekonomi yang berdaya saing.

 

Beliau seterusnya merujuk kepada 6,000 inovator akar umbi yang dibantu sejak 2012 melalui pendanaan pembangunan berteknologi dan automasi, pemilikan paten, bimbingan kapasiti diri, penubuhan syarikat dan diffusion produk melibatkan pelaburan kewangan kerajaan melalui MOSTI sebanyak lebih RM50 juta. 

 

Inovasi sosial, kata Ismail Sabri tidak seharusnya dilihat sebagai projek atau inisiatif sekali sahaja sebaliknya perlu disokong oleh minda keusahawanan agar proses menjana sumber baharu sentiasa berkembang, selari dengan pertumbuhan organisasi dan daya saing pasaran yang mampan. 


 

PM

 

PM

 

 

"Saya menyeru institusi korporat untuk turut memberi sokongan kepada kerajaan dan bekerjasama dengan YIM sebagai ejen inovasi sosial yang menyokong pembangunan inovator akar umbi kita.

 

Saya mengharap agar muncul lebih banyak idea STIE yang bukan sekadar menarik tetapi juga berdaya maju melibatkan teknologi automasi, pembelajaran mesin dan data raya, kepintaran buatan, teknologi robotik serta Internet Benda sehingga mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat," katanya. 

 

Menyentuh mengenai Ruang Reka STIE di Bera, Ismail Sabri berkata ia memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menjadi lebih celik terhadap teknologi terkini, selain dapat menjana pendapatan yang menyasarkan golongan pelajar, belia, peniaga kecil dan sederhana serta syarikat pemula. 

 

Ruang STIE di Bera merupakan yang ketujuh setakat ini, dengan kemudahan seperti makmal reka bentuk, makmal komputer, sudut inovasi, studio digital dan ruang latihan yang boleh digunakan secara percuma.

 

 

PM

 

 

Lokasi Ruang Reka STIE yang lain ialah dua di Johor dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan serta Kedah. 

 

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyaksikan penyerahan Surat Hasrat Kerjasama antara YIM dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) melibatkan penyediaan latihan
dan pembangunan kapasiti dalam bidang inovasi kepada komuniti di Bera. - DagangNews.com