Rugi bersih NTPM melebar kepada RM4.03 juta pada 2QFY24 berbanding RM3.49 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih NTPM melebar kepada RM4.03 juta pada 2QFY24 berbanding RM3.49 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Dis - Kerugian bersih NTPM Holdings Berhad terus melebar kepada RM4.03 juta pada suku kedua berakhir 31 Oktober 2023 (2QFY24) berbanding RM3.49 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan bagi 2QFY24 mencecah RM224.7 juta, meningkat 1.9% berbanding RM220.4 juta pada 2QFY23. 

 

Katanya, pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan jualan dalam segmen produk penjagaan diri.

 

"Kumpulan itu melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.4 juta untuk 2QFY24, mencerminkan peningkatan 53.9% berbanding kerugian RM5.2 juta yang dicatatkan pada 2QFY23.

 

"Penambahbaikan dalam kerugian sebelum cukai adalah disebabkan oleh penurunan dalam kos bahan mentah dan jualan yang lebih tinggi yang dijana daripada segmen produk penjagaan diri.

 

"Bagaimanapun, peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi dan pengurangan pendapatan daripada produk papan teras," katanya.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Oktober 2023, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM448.5 juta iaitu peningkatan 2.5% daripada RM437.6 juta pada tahun lalu. Peningkatan itu disebabkan peningkatan dalam jualan produk penjagaan diri.

 

Kumpulan mencapai keuntungan sebelum cukai sebanyak RM35,000 bagi tempoh 6MFY24 menandakan peningkatan sebanyak 101.4% berbanding kerugian RM2.5 juta dalam tempoh enam bulan tahun sebelumnya. 

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, dengan ketegangan geopolitik yang berterusan dan pelarasan selepas pandemik COVID-19, tekanan inflasi dan kadar pertukaran mata wang asing yang tidak menentu menghalang pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pengguna.

 

Persekitaran operasi perniagaan untuk kumpulan di Malaysia dan seterusnya kekal sangat mencabar. Kumpulan berada pada kedudukan untuk menghadapi cabaran dalam pasaran sedia ada yang telah menjadi sangat kompetitif. - DagangNews.com