Rumah, apartment tidak terjual terus bertambah | DagangNews Skip to main content

Rumah, apartment tidak terjual terus bertambah

PUTRAJAYA 22 Sept. -  Bilangan rumah siap tetapi tidak terjual meningkat kepada 31,661 buah dengan nilai RM20.03 bilion pada separuh pertama tahun ini, berbanding 30,664 buah dengan nilai RM18.82 bilion pada separuh kedua 2019.

Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, apartmen servis yang termasuk dalam kategori hartanah komersial, turut merekodkan kenaikan sebanyak 21,683 buah masih belum terjual bernilai RM18.64 bilion, berbanding 17,142 buah bernilai RM15.04 bilion pada separuh kedua 2019.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan rumah kediaman siap dibina tidak terjual termasuk apartmen servis ialah sebanyak 53,344 buah bernilai RM38.67 bilion, lapor Berita Harian.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah menyarankan kepada pemaju dan pihak berkuasa supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada data kediaman tidak terjual ini.

Katanya, ia adalah penting dalam membuat penentuan projek yang bakal dibangunkan dan memastikan harga jualan rumah yang munasabah bagi kawasan berkenaan.

"Ini adalah untuk memastikan penawaran perumahan adalah selari dengan permintaan dan isu ketidakpadanan dapat diminimumkan," katanya pada majlis taklimat Pasaran Harta Tanah Separuh Pertama 2020 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Othman Semail. Yang turut hadir Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, A'zmi Abdul Latif.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) itu, prestasi pasaran hartanah mencatatkan penurunan mendadak pada separuh pertama 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sektor hartanah mencatatkan 115,476 transaksi bernilai RM46.94 bilion pada separuh pertama 2020, menurun sebanyak 27.9% dari segi bilangan dan 31.5% dari segi nilai berbanding separuh pertama 2019 yang mencatatkan 160,165 transaksi bernilai RM68.53 bilion.

Sub-sektor kediaman menerajui keseluruhan pasaran harta tanah dengan menyumbang 65.2%, diikuti oleh sub-sektor pertanian sebanyak 20.1%. Pasaran hartanah kediaman merekodkan 75,318 transaksi bernilai RM25.61 bilion pada enam bulan pertama tahun ini, menurun sebanyak 24.6% dari segi bilangan dan 26.1% dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam pasaran primer, bilangan pelancaran baharu pada H1 2020 jauh berkurangan daripada yang dicatatkan dalam tempoh kajian. Sebanyak 13,294 unit dilancarkan, turun 43.6% berbanding 23,591 unit pada separuh pertama 2019.

Berbanding separuh tahun 2019, jumlah pelancaran 31.6% lebih rendah iaitu 19,444 buah.

Prestasi jualan pada tempoh dikaji agak lemah iaitu pada 3.3%, jauh lebih rendah berbanding H1 2019 (30.9%) dan H2 2019 (28.4%).

Pelancaran baharu yang rendah dan prestasi penjualan yang lemah berkemungkinan disebabkan oleh penutupan hampir kesemua aktiviti perdagangan dan ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac 2020.

Kediaman baharu dilancar yang berharga antara RM100,000 dan RM500,000 menguasai pasaran pada H1 2020, yang mana segmen harga RM200,000 hingga RM300,000 mendahului penawaran dengan 4,022 buah.

Sementara itu, jualan tertumpu kepada unit berharga RM400,000 dan ke bawah membentuk 92% daripada jumlah jualan. Mengikut jenis, rumah teres mendominasi pelancaran baharu.

Teres satu dan 2-3 tingkat mencatat 7,389 buah daripada jumlah jualan keseluruhan, diikuti oleh unit kondominium atau pangsapuri sebanyak 3,951 buah. - DagangNews.com