PADA 2022, hebat diperkatakan tentang Qatar sebuah negara yang mempunyai populasi sekitar 3 juta menjadi tuan rumah kepada sukan bertaraf dunia iaitu Piala Dunia FIFA.
Berbagai laporan yang dipaparkan tentang persediaan dan kejayaan negara tersebut dalam mengendali sukan bertaraf mega itu.
Pada awal tahun pula 2023 kerajaan Malaysia telah meluluskan bajet tambahan kepada industri sukan sebanyak RM110 juta kepada RM324 juta bagi tujuan program latihan dan kemudahan fasiliti sukan untuk semua atlet dan para-atlet.
Maklumat sebegini memaparkan kepentingan industri sukan iaitu satu industri komersial yang kini berkembang pesat di peringkat antarabangsa mau pun di Malaysia.
Sukan mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan merupakan komponen penting dalam pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara.
Sukan tidak hanya terikat atau tertumpu kepada aktiviti sukan yang menyihatkan tubuh badan tetapi juga secara langsung dapat menyumbang kepada ekonomi negara.
Sesebuah negara sekiranya memfokus kepada pembangunan industri sukan, akan dapat meningkatkan Pengeluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) apabila sektor peruncitan dan hospitaliti yang berkaitan sukan berkembang.
Pertandingan sukan di peringkat antarabangsa sebagai contoh terkini, Sukan SEA 2023 di Kemboja, merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan oleh para ahli sukan.
Atlet merupakan tunjang dalam sesuatu aktiviti sukan. Seringkali atlet yang terkenal menjadi idola atau disanjung oleh masyarakat.
Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab seseorang atlet untuk menunjukkan prestasi sukan yang cemerlang dan seterusnya mengharumkan nama sesebuah negara apabila dipilih mewakili negara untuk bertanding di peringkat antarabangsa. Ringkasnya, secara automatik mereka terlantik sebagai duta kecil negara.
Ramuan untuk menjadi seorang atlet sukan yang cemerlang adalah keupayaan ketahanan mental dan fizikal, mempunyai semangat jati diri, rohaniah dan sahsiah yang tinggi.
Seorang atlet yang profesional akan melakukan persediaan rapi dalam menghadapi sesuatu pertandingan dan diperkukuhkan dengan keyakinan diri yang tinggi untuk mencapai kejayaan.
Seorang atlet juga tidak gentar hadapi kegagalan kerana beliau sedar kalah menang adalah lumrah sesuatu pertandingan.
Ketika pertandingan sukan peringkat antarabangsa, atlet bukan sahaja diuji dari segi kebolehan fizikal dan teknikal tetapi juga kemampuan mereka untuk berinteraksi dengan atlet dan pengurus pasukan dari negara lain.
Satu aspek yang perlu dititikberatkan adalah keupayaan berkomunikasi. Para atlet seharusnya dapat berkomunikasi dengan baik melalui Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa perantaraan di peringkat antarabangsa.
Kemahiran Berkomunikasi
Ini bermakna satu aspek penting yang perlu diberi penekanan adalah kemahiran berkomunikasi.
Kemampuan para atlet untuk berkomunikasi dengan pengurus pasukan dan wartawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan reputasi pasukan khususnya dan negara secara amnya.
Wartawan sering mendapatkan maklumat daripada atlet untuk menulis laporan atau pun artikel mengenai prestasi atlet secara individu mau pun secara berpasukan.
Justeru, kebolehan para atlet untuk berkomunikasi dengan jelas dan efektif dapat membantu mempromosikan pasukan sekaligus mempromosikan negara di peringkat antarabangsa.
Secara umumnya, terdapat para atlet yang dapat berkomunikasi dengan baik.
Namun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga atlet yang mempunyai kelemahan berkomunikasi sama ada kerana kelemahan di dalam penguasaan Bahasa Inggeris, kurang pengalaman dalam wawancara ataupun berkemungkinan disebabkan faktor tekanan semasa menghadiri sesuatu pertandingan.
Andaikan Malaysia ingin menjadikan sukan sebagai salah satu penjanaan ekonomi dari aspek pelancongan sukan, latihan dan bimbingan dalam aspek kemahiran berkomunikasi para atlet, juru latih dan pengurus pasukan perlu digiatkan.
Pada masa yang sama juga, adalah disarankan supaya atlet terpilih untuk mewakili negara ke pertandingan sukan antarabangsa untuk mempunyai pengetahuan yang menyeluruh mengenai negara yang diwakili dari aspek ekonomi, politik dan sosial agar tidak kecundang ketika berkomunikasi antara atlet lain dari negara yang bertanding mau pun ketika ditemuramah.
Secara umumnya isu semasa yang sedang diperbincangkan oleh media juga harus dapat jelaskan jika ada yang bertanya.
Impak positif ke atas ekonomi negara
Dari satu perspektif yang lain, kesan industri sukan itu amat meluas. Sukan adalah industri yang penting dari segi ekonomi berdasarkan pendapatan yang diraih daripada kejohanan yang dianjurkan.
Ini adalah kerana industri sukan bukan sahaja berkaitan dengan industri pembuatan produk yang berkaitan sukan semata-mata, tetapi turut membabitkan perkhidmatan, perubatan dan pelancongan.
Penglibatan syarikat-syarikat perniagaan dalam industri sukan mampu menjadi pemangkin transformasi ekonomi negara. Peluang pekerjaan dalam industri tersebut dapat dicipta serta penjanaan pendapatan secara langsung berlaku hasil dari penjualan produk berkaitan sukan.
Satu fakta yang jelas ialah, apabila sesebuah negara menganjur sukan peringkat mega atau antarabangsa, persediaan dari segi prasarana seperti stadium, kolam renang, padang golf dan sebagainya perlu dilakukan.
Segala kemudahan sukan yang berkaitan juga perlu bina, diselenggarakan atau dinaiktarafkan agar aktiviti sukan dapat diperbanyakkan dan berlangsung dengan jaya. Secara tidak langsung aktiviti ini akan mencipta pekerjaan dan meningkat pelaburan asing.
Para penyokong pasukan yang bertanding juga akan membuat tempahan atau penyewaan hotel-hotel sebagai tempat penginapan dan secara langsung meningkatkan pendapatan industri penginapan dan permintaan terhadap perkhidmatan yang berkaitan.
Hasil daripada aktiviti ini akan dapat menyumbang secara signifikan kepada memperkembangkan ekonomi negara melalui sektor perkhidmatan.
Dari perspektif yang berkaitan iaitu aktiviti pengiklanan yang bertujuan memberi maklumat dan menarik minat para penonton untuk datang menyaksikan pertandingan tersebut juga akan meningkat.
Antara lain juga, aktiviti penajaan akan berkembang di mana melalui penajaan, syarikat yang menaja sesebuah pasukan itu akan dapat mempromosikan barangan keluaran syarikat mereka secara terus seperti peralatan sukan, pakaian sukan dan juga aksesori sukan.
Sebagai rumusan industri sukan merupakan satu aset bagi negara ini. Atlet bagaikan permata yang perlu digilap untuk membolehkannya memancar kilauan dan menunjukkan kehandalan mereka.
Nama Malaysia akan menjadi terkenal di persada antarabangsa apabila mempunyai ahli sukan yang profesional dan handal seperti pemain badminton, perenang, pelumba basikal dan atlet lain dalam berbagai bidang.
Sokongan dan galakan dari pihak kerajaan dari aspek pembiayaan bagi latihan dan infrastruktur sudah tentu akan dapat menjadi Malaysia sebuah negara sukan menjelang 2025 seperti yang dihajati. – DagangNews.com
Dr. Marziah Mokhtar adalah Pensyarah Kanan (Ekonomi) dan Ezathul Zerafena Mohd Ris adalah Pensyarah Bahasa (Inggeris) di Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil