BERA 14 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RuralStar merupakan teknologi pemangkin yang boleh membantu Keluarga Malaysia meningkatkan taraf kehidupan seharian dan seterusnya meningkatkan jejak digital mereka.
Ismail Sabri berkata, melalui teknologi seperti RuralStar, kemahiran digital dalam setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk dan disemai agar tenaga kerja pada masa hadapan mempunyai daya saing yang tinggi.
Beliau berkata, RuralStar merupakan peranti infrastruktur rangkaian telekomunikasi teknologi terkini yang dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil tetapi juga tidak mempunyai infrastruktur komunikasi yang lengkap.
Jelasnya, pelancaran RuralStar amat penting agar teknologi baharu seperti ini dapat memudahkan salinghubungan (ketersambungan) kepada komuniti-komuniti yang sukar dijangkau.
"Proses digitalisasi berlaku dengan giat di seluruh negara sejak penularan pandemik COVID-19 bagi membolehkan kehidupan harian diteruskan tanpa menganggu kelangsungan pendidikan dan juga produktiviti perniagaan.
"Meskipun begitu, masih terdapat kelompok-kelompok kecil yang masih belum menerima manfaat daripada proses berkenaan.
"Justeru, kerajaan sentiasa berusaha membawakan arus kemajuan ini ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapa pun tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama yang lebih inklusif dan saksama," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Ruralstar Huawei di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Menurutnya, dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat, kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya iaitu merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata, salinghubungan atau ketersambungan digital yang menyeluruh di segenap lapisan masyarakat menjadi objektif utama dalam pentadbiran kerajaan.
"Baru-baru MEASAT 3-d telah dilancarkan dan dengan pelancaran satelit itu, saya berharap keupayaan capaian internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan.
"Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negera atau JENDELA bakal menyediakan 100% liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar tetap kepada 9 juta premis menjelang tahun 2025," katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 200 tablet jenama Huawei berserta kad SIM Celcom diserahkan kepada golongan pelajar di Bera yang memerlukan bantuan pembelajaran.
Perdana Menteri berkata, beliau gembira dengan kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta seperti itu dapat menggalakkan pendidikan digital, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.
"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Huawei Malaysia kerana membantu kerajaan mempercepatkan transformasi digital dan mengukuhkan pembangunan inovasi di Malaysia. Saya amat teruja apabila dapat menyaksikan sendiri teknologi terkini dan penyelesaian digital yang dibangunkan secara langsung oleh Huawei Malaysia.
"Huawei Customer Solution Innovation Center yang berpusat di Kuala Lumpur telah mempamerkan pelbagai aplikasi, peranti dan perisian moden yang banyak membantu industri di Malaysia menjadi lebih tangkas dan fleksibel dalam era yang mencabar ini," katanya. - DagangNews.com