KUALA LUMPUR 26 Sept - Gagasan Belia menggesa Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk meneliti semula Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 (RUU GEG) kerana dilihat akan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pertubuhan itu dalam satu kenyataan berkata, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, RUU berkaitan GEG berkemungkinan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan berpendapat GEG yang bertujuan melarang penjualan dan penggunaan produk tembakau termasuk vape kepada sesiapa yang lahir dari 1 Januari 2007 boleh dikatakan diskriminasi.
Menurut beliau, RUU GEG perlu dilihat berbeza dengan undang-undang seperti umur perkahwinan, umur mengundi dan lain-lain kerana RUU GEG adalah larangan kekal berdasarkan tahun lahir.
Gagasan itu juga menggesa KKM serta PSSC GEG supaya melakukan perbincangan dengan Majlis Peguam Malaysia dan mengeluarkan laporan menyeluruh tentang isu keperlembagaan RUU GEG.
RUU yang dicadangkan itu merupakan pelanggaran hak asasi tersebut yang amat ketara sekali kerana memberikan kuasa kepada pihak kerajaan untuk mendakwa sesetengah rakyat berdasarkan perbezaan tarikh lahir semata-mata.
RUU GEG akan menjadi satu-satunya undang-undang dalam sejarah yang digubal berdasarkan tahun lahir dan tidak salah untuk membawa semula RUU GEG sebagai Pindaan Perlembagaan daripada tergesa-gesa meluluskan rang undang-undang yang pasti dimatikan di mahkamah.
"RUU ini akan mengenakan hukuman selain denda yang amat tinggi terhadap perokok serta pemilikan produk rokok dan vape.
"Perkara 17.(2) RUU ini menyatakan bahawa mana-mana individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 yang menghisap rokok atau menggunakan produk rokok, peranti rokok atau produk vape akan dikenakan denda.
"Walaupun denda dikurangkan dari RM5,000 ke RM500, denda yang tinggi akan menyebabkan ramai orang, terutamanya golongan miskin, tidak dapat membayar denda tersebut lalu mereka akan terpalit dengan hukuman lain termasuk pemenjaraan dan undang-undang itu tidak fokus kepada menyelesaikan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada masalah ketagihan di kalangan masyarakat," katanya.
Selain denda yang tinggi, RUU ini juga memberikan kuasa yang terlalu luas dan besar kepada penguatkuasa yang diberikan kuasa untuk memberhentikan dan menggeledah kenderaan serta memeriksa apa-apa bagasi, bungkusan dan apa-apa bekas tanpa waran selain memaksa akses kepada peranti dan komputer untuk mendapatkan maklumat selain penggunaan kekerasan untuk memecah masuk ke mana-mana premis tanpa waran.
"Kuasa yang terlampau luas dan besar ini akan membuka ruang kepada penyalah gunaan kuasa oleh penguatkuasa dan pada satu sudut berkemungkinan besar akan disasarkan kepada komuniti rentan dan golongan minoriti," katanya.
Gagasan itu juga melihat RUU ini sebagai regresif dan mempunyai banyak kelompongan yang perlu ditambah baik.
"Kami menuntut agar RUU ini disemak semula dan seharusnya dibawa untuk dibincangkan semula melibatkan pakar-pakar kesihatan awam, pakar-pakar Perlembagaan, pakar kanak-kanak serta pihak berkepentingan lain agar turut melihat kepada kesan kepada hak asasi manusia dan menepati konsep pengurangan mudarat sebelum diluluskan di Parlimen," katanya. - DagangNews.com