Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kerajaan menarik semula rang undang-undang (RUU) yang mengehadkan tempoh berkhidmat perdana menteri tidak melebihi dua penggal iaitu RUU Perlembagaan (Pindaan) serta Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Penarikan balik RUU itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya memohon mencadangkan menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik DR 42/2019 RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dan DR 25/2019 RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 seperti yang tertera di nombor enam dan tujuh aturan urusan mesyuarat hari ini,” katanya.
Pada Disember lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Pakatan Harapan ketika itu.
Langkah untuk mengehadkan tempoh berkhidmat jawatan tersebut merupakan antara janji yang dibuat Pakatan Harapan dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
RUU itu dijadualkan untuk dibahaskan pada bulan Mac 2020, tetapi ditarik balik hari ini.
Dalam pada itu, IPCMC pula dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menambahbaik operasi dan pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada Julai 2019, RUU IPCMC dibentangkan di Parlimen dengan 24 pindaan dan dijadualkan untuk bacaan kedua pada Oktober 2019.
Tetapi, RUU IPCMC itu telah digantikan dengan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 (IPCC) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
IPCC dibentangkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said hari ini. - DagangNews.com