Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia berjaya keluar dari garis kemiskinan | DagangNews Skip to main content

Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia berjaya keluar dari garis kemiskinan

Mustapa Mohamed menyampaikan Bakul Kasih kepada Sahabat AIM sambil diiringi Najib, Lajim dan Norshahrizal (kiri) di Jeli, Kelantan, baru-baru ini.

 

JELI 11 April - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed hari ini menzahirkan rasa bangga terhadap peniaga wanita di Malaysia, khususnya Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang dilihat cekap berniaga tidak kira dalam skala kecil mahu pun yang berskala besar.

 

Selain komited, disiplin yang tinggi terutamanya dalam membayar balik pinjaman menjadi antara ciri-ciri peniaga yang wajar dipuji.

 

Menurut Mustapa, beliau bangga dengan wanita Malaysia apabila dimaklumkan bahawa, hampir kesemua 400,000 Sahabat AIM yang mana sebahagian daripadanya telah berjaya membawa keluarga keluar dari garis kemiskinan adalah golongan wanita.

 

Tambahnya, kewujudan AIM yang memberi bantuan kepada golongan wanita dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan melalui pembiayaan modal perniagaan yang diberikan.

 

Mustapa berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bakul Kasih AIM, Cawangan Jeli, Kelantan.

 

Pada program yang turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin itu, seramai 1,000 Sahabat AIM menerima sumbangan berupa makanan asas iaitu beras, gula, tepung, bihun, minyak masak, sardin tin dan lain-lain.

 

Selain itu 200 Sahabat terpilih juga menerima Payung Berniaga sumbangan Koperasi Kakitangan AIM.

 

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi AIM, Mohd Najib Mohd Noor; Ahli Lembaga AIM, Ts Abdul Rahman @ Johan Mohamad; Ketua Pegawai Kewangan AIM, Noorshahrizal Mashahrin, dan Ketua Pegawai Perundangan  AIM, Hj Jani Izwandi Che Jan.

 

Selain rasa bangga Mustapa juga menasihati peniaga supaya menjauhi peminjam wang tidak berlesen atau 'ah long' yang begitu agresif mengambil kesempatan terhadap peniaga-peniaga kecil.

 

Malah, beliau mengalakkan peniaga khususnya Sahabat AIM mendalami dan memahirkan diri dalam perniagaan atas talian bagi memasarkan produk dan perniagaan masing-masing dengan lebih meluas.

 

Sementara itu, menurut Norshahrizal AIM juga sedang berusaha memulihkan kembali perniagaan Sahabat yang terjejas teruk dengan mengadakan pelbagai kursus dan latihan.

 

"Kita juga turut menggunakan media arus perdana untuk membantu mempromosikan perniagaan Sahabat secara lebih agresif," katanya.

 

Malah katanya, pelbagai program latihan keushawanaan telah disusun  tahun ini termasuk kerjasama dengan  beberapa agensi kerajaan bagi memantapkan semula perniagaan Sahabat yang terjejas.

 

Untuk rekod, sejak ditubuhkan, AIM telah mengeluarkan sebanyak RM5.1 bilion kepada lebih 50,000 Sahabat AIM di Kelantan. - DagangNews.com