Saham BCorp ‘melompat’ 17% selepas pelantikan CEO baharu | DagangNews Skip to main content

Saham BCorp ‘melompat’ 17% selepas pelantikan CEO baharu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Pengumuman pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baharu telah melonjakkan nilai saham Berjaya Corporation Berhad (BCorp) sehingga 16.67%. 

 

Setakat 10.31 pagi, nilai saham syarikat itu menokok 3 sen kepada 21 sen daripada 18 sen, harga yang ditutup pada petang semalam. 

 

Lewat semalam, BCorp mengumumkan pelantikan Abdul Jalil Abdul Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 16 Mac 2021.

 

Abdul Jalil Abdul Rasheed
Abdul Jalil Abdul Rasheed

 

Lebih menarik, jawatan itu pertama kali dipegang oleh individu bukan ahli keluarga Pengerusi Eksekutif BCorp, Tan Sri Vincent Tan.

 

Baca : Jalil, individu pertama bukan keluarga Vincent Tan terajui BCorp

 

Menurut BCorp, Abdul Jalil, 38, mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching, 46, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif konglomerat berkenaan.

 

Abdul Jalil akan bekerjasama dengan Vincent dan Robin sebagai jawatankuasa eksekutif untuk terlibat dalam semua proses membuat keputusan strategik serta merancang hala tuju perniagaan masa depan BCorp.

 

Nama Abdul Jalil mula lebih dikenali umum selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), atas alasan peribadi pada 13 Jun 2020.

 

Baca : London School of Economics kata Jalil Rasheed bukan graduan LSE

 

Ketika proses peletakan jawatan itu masih berlangsung, terdapat pula pihak tertentu yang mempersoalkan kelayakan Jalil termasuklah berhubung sijil University of London (UoL) miliknya yang sebelum ini didakwa sebagai sijil sama dari London School of Economics and Political Science (LSE). - DagangNews.com