Saham BWYS Group melonjak lebih 65% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Saham BWYS Group melonjak lebih 65% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Saham Pengeluar produk logam kepingan dan pembekal perancah, BWYS Group Bhd melonjak lebih 65% dalam penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, menunjukkan permintaan pelabur yang kukuh dalam saham baharu itu walaupun pasaran kurang memberangsangkan.

 

Saham kumpulan itu sebelum ini terlebih langgan sebanyak 48.51 kali, membolehkan mereka memperoleh RM56.4 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Saham BWYS mula didagangkan pada 32 sen sesaham berbanding harga IPO sebanyak 22 sen.

 

Sejumlah 152.94 juta saham BWYS didagangkan, menjadikannya kaunter paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia pada Isnin.

 

Dengan pembiayaan daripada IPO, BWYS bersedia untuk mengembangkan operasinya dan meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan sebuah kilang baharu di Pulau Pinang, meliputi jumlah kawasan binaan kira-kira 197,153 kaki persegi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: BWYS Group sasar kumpul RM56.4 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Selain itu, BWYS berkata ia akan memperoleh jentera baharu, termasuk mesin membentuk gulungan untuk kilang di Banting dan peralatan untuk kekuda bumbung dan pembuatan sistem rak industri.

 

Apabila siap, kilang di Pulau Pinang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat kepada 147,147 tan dan kapasiti gudang kepada 150,231 kaki persegi.

 

Rakuten Trade dalam nota IPO berkata, ia meramalkan pertumbuhan pendapatan bersih untuk BWYS memandangkan rancangan pengembangan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPO BWYS Group terlebih langganan 48.51 kali

 

"Memandangkan pengembangan kapasiti, pelancaran produk baharu, dan peningkatan permintaan untuk bahan binaan, kami menjangka BWYS mencatatkan pendapatan bersih masing-masing RM22.3 juta dan RM27.6 juta untuk FY24 dan FY25," katanya.

 

Firma penyelidikan itu memberikan saranan "beli" terhadap saham kumpulan itu dengan nilai saksama 40 sen sesaham berdasarkan nisbah harga-pendapatan 15x berbanding pendapatan sesaham FY25. - DagangNews.com