Saham DNeX ‘menggila’ hari ini selepas umum pengambilalihan ekuiti, perolehan kontrak MoF | DagangNews Skip to main content

Saham DNeX ‘menggila’ hari ini selepas umum pengambilalihan ekuiti, perolehan kontrak MoF

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Hampir semua mata pelabur tertancap pada Dagang Nexchange Berhad (DNeX) sehingga harga sahamnya mencecah paras tertinggi harian pada kadar 86.5 sen. 

 

Pengumuman kumpulan mengenai perolehan kontrak bernilai RM88.1 juta daripada Kementerian Kewangan (MoF) serta perancangan anak syarikatnya untuk mengambilalih baki 50% kepentingan dalam Avalon Oilfield telah melonjakkan harga sahamnya sebanyak 4.91% kepada 85.5 sen pada dagangan sesi pagi ini.

 

Ini seterusnya membawa saham DNex paling rancak diniagakan sehingga ke penutupan indeks utama, FBM KLCI pada pukul 5 petang, namun ia berakhir tidak berubah daripada penutupan Isnin, pada kadar 81.5 sen.

 

Sehingga 10 pagi, kaunter tersebut menjadi antara saham paling aktif diniagakan, meningkat sebanyak 2.5 sen kepada 84 sen dengan 79.83 juta saham bertukar tangan. 

 

Setakat ini, kaunter itu telah menyaksikan lonjakan 267.39%, sekali gus membawa nilai pasarannya mencecah RM2.52 bilion dan jumlah saham sebanyak 3.09 bilion.

 

Anak syarikat tidak langsung DNeX, Innovation Associates Consulting Sdn Bhd, mendapat kontrak teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) daripada MoF, seperti dimaklumkan kumpulan pada Isnin. 

 

Dalam pada itu, anak syarikatnya, PING Petroleum UK Ltd memperoleh baki 50% kepentingan dalam pembangunan luar pesisir Avalon Oilfield di United Kingdom berjumlah AS$17 juta (RM71.72 juta) secara tunai. 

 

PING UK telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Summit Exploration and Production Ltd untuk membeli kepentingan itu yang tidak dimilikinya.  

 

PING Petroleum UK adalah anak syarikat DNeX Energy Sdn. Bhd., yang dimiliki sepenuhnya oleh DNeX manakala Summit Exploration and Production adalah anak syarikat milik penuh Sumitomo Corp. - DagangNews.com