Saham Grab merosot 37% selepas catat kerugian besar pada suku keempat | DagangNews Skip to main content

Saham Grab merosot 37% selepas catat kerugian besar pada suku keempat

KUALA LUMPUR 4 Mac - Saham Grab Holdings Inc. merosot sehingga 37% pada Khamis selepas syarikat itu melaporkan kerugian yang lebih besar pada suku keempat 2021, mendorong kepada penurunan nilai pasaran sebanyak AS$22 bilion (kira-kira RM92.08 bilion) sejak ia disenaraikan menerusi penggabungan pada Disember lalu.  

 

Menurut laporan Bloomberg, saham syarikat seru pandu dan penghantaran terbesar di Asia Tenggara itu menjunam sehingga 63% sejak penampilan sulungnya, meletakkannya dalam kalangan Indeks Komposit Nasdaq berprestasi buruk sepanjang tempoh itu.

 

Penurunan yang dialaminya semalam menandakan penjualan terbesarnya selepas syarikat yang berpangkalan di Singapura itu merekodkan kerugian bersih suku tahunan hampir 2 kali ganda berbanding tahun lalu manakala pendapatan menyusut sebanyak 44%.

 

Kejatuhan itu berlaku apabila 116 juta saham bertukar tangan, lebih daripada 4 kali ganda purata sepanjang bulan lalu.

 

"Grab, yang menganggap SoftBank Group Corp. dan Uber Technologies Inc. sebagai 2 pemegang saham terbesarnya, bergelut untuk mempertahankan kedudukan yang mantap sejak penggabungannya dengan Altimeter Growth Corp., akhir tahun lalu.

 

"Syarikat ini telah mengalami kerugian sejak penubuhannya dan laporan pada Khamis (3 Mac) menunjukkan perbelanjaan untuk pertumbuhan membawanya lebih jauh daripada keuntungan," jelas laporan itu hari ini.

 

 

grab

 

 

Kerugian bersihnya mencecah AS$1.06 bilion pada suku keempat, berbanding anggaran konsensus sebanyak AS$645 juta.

 

Kerugian yang semakin meningkat itu menyebabkan pelabur meninggalkan saham bersama syarikat lain yang masih belum memperoleh keuntungan. 

 

Pada Khamis, Grab mencatat prestasi terburuk dalam Indeks De-SPAC apabila kumpulan bekas syarikat pengambilalihan tujuan khas turun 5.4% ke paras terendah.

 

Bloomberg sebelum ini melaporkan saham Grab jatuh mendadak pada hari pertama dagangannya, 3 Disember lalu di Nasdaq selepas bergabung dengan Altimeter Growth Corp, urus niaga pengambilalihan tujuan khas (SPAC) terbesar setakat ini.

 

Memandangkan pandemik COVID-19 telah menjejaskan permintaan terhadap pengangkutan, Grab mengembangkan perniagaan penghantaran makanannya untuk memacu pertumbuhan pengguna. 

 

Pasaran runcit dalam talian di Asia Tenggara dijangka meningkat hampir 3 kali ganda kepada AS$11.9 bilion pada 2025 daripada AS$4.1 bilion pada 2020, menurut Euromonitor International.

 

 

grab

 

 

Bagaimanapun, menurut Bloomberg, perbelanjaan oleh pelanggan pada platform Grab semakin meningkat, tetapi pertumbuhan itu belum lagi diterjemahkan kepada pendapatan.

 

"Pendapatan tempahan daripada penghantaran pada suku lalu hanyalah AS$1 juta. Grab menolak insentif yang ditawarkannya kepada pemandu dan pengguna daripada jualan, dan turun naik jumlah hasil suku tahunannya bergantung kepada jumlah yang dibelanjakan untuk usaha tersebut," katanya.

 

Bagi suku keempat itu, jumlah perbelanjaan ke atas insentif adalah lebih 2 kali ganda kepada AS$583.5 juta. Untuk tahun penuh 2021, perbelanjaan ini meningkat kepada AS$1.78 bilion daripada AS$1.24 bilion tahun sebelumnya.

 

Penganalisis LightStream Research, Shifara Samsudeen dalam laporan itu tidak menjangkakan Grab akan membelanjakan insentif dalam jumlah yang besar. 

 

"Ini menunjukkan syarikat bergelut untuk mengembangkan perniagaannya dan keuntungannya dilihat sukar untuk dicapai," menurutnya dalam nota kajian mengenai Smartkarma. 

 

 

grab

 

 

Grab, yang diasaskan oleh Anthony Tan dan Hooi Ling Tan dianggap sebagai salah satu syarikat pemula paling berpotensi di Asia Tenggara.

 

Model perniagaannya sama dengan Uber, perintis seru pandu dan penghantaran Amerika Syarikat (AS) yang menjual operasinya di Asia Tenggara kepada Grab pada 2018.

 

Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Altimeter Capital Management, Brad Gerstner mengumumkan penggabungan pada April 2021 dan mereka perlu melalui tahun yang mencabar bagi SPAC dan pasaran global.

 

Antara cabaran Grab ialah memperhebatkan persaingan, termasuk daripada Sea Ltd, syarikat internet terbesar di Asia Tenggara. 

 

Pada masa sama, pesaingnya di Indonesia, Gojek, bergabung dengan penyedia e-dagang PT Tokopedia dan muncul sebagai GoTo. Gabungan entiti ini dalam persediaan tawaran awam permulaan di negara itu dan juga AS tahun ini. - DagangNews.com