Saham perbankan lonjak KLCI | DagangNews Skip to main content

Saham perbankan lonjak KLCI

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Pasaran saham tempatan petang ini menongkah arus apabila ditutup tinggi berbanding pasaran serantau lain yang merekodkan kerugian.

 

Indeks utama FBM KLCI menokok 2.73 mata atau 0.2% kepada 1,569.87 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,568.67 hingga 1,583.43 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 12.89 bilion bernilai RM6.42 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 677 berbanding 485 manakala 466 kaunter tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran saham Asia seperti Jepun, Hong Kong dan China terjejas teruk dalam dagangan pada Selasa.

 

"Ini ekoran kebimbangan yang dibangkitan pegawal selia atasan China mengenai meletusnya risiko gelembung dalam pasaran asing kerana hasil bon di negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS) telah meningkat sepanjang minggu lalu," katanya kepada DagangNews.com.

 

Kenyataan itu, tambahnya, secara tidak langsung menjejaskan keyakinan terhadap data pembuatan yang positif baru-baru ini. 

 

Bagaimanapun di peringkat domestik, beliau berkata, kaunter perbankan di bawah indeks KLCI seperti CIMB, Maybank dan Public Bank merekodkan keuntungan di tengah-tengah jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi. 

 

Dalam kalangan sektor pula, indeks media dan telekomunikasi mencatat kenaikan paling banyak sekitar 0.7%. 

 

Kenaikan ini didorong oleh kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memberi jaminan akan mengawal selia syarikat entiti khusus (SPV) kerajaan, Digital Nasional Berhad (DNB). 

 

Langkah ini dibuat bagi memastikan syarikat telekomunikasi mempunyai akses yang adil untuk perkhidmatan borong rangkaian 5G. 

 

"Sementara itu, indeks tenaga merosot sehingga 2.5% memandangkan para pelabur masih menunggu keputusan OPEC+ yang kemungkinan menyebabkan penurunan bekalan dan memberi tekanan kepada harga minyak," katanya. 

 

Menurut Reuters, harga minyak pada Selasa jatuh 1% ekoran jangkaan OPEC akan bersetuju meningkatkan bekalan minyak dalam mesyuaratnya memberi kesan kepada sentimen, yang sudah terjejas apabila permintaan China semakin perlahan.

 

Harga minyak Brent jatuh 80 sen kepada AS$62.89 setong manakala West Texas Intermediate susut 69 sen kepada AS$59.95. 

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0535/0575 berbanding dolar AS, tinggi sedikit berbanding penutupan semalam pada RM4.0550/0580. 

 

Menurut Kenanga Research, peningkatan harga minyak mungkin akan terus mengukuhkan mata wang tempatan dan meletakkannya di bawah paras RM4.100 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat. 

 

"Tetapi, ringgit juga akan terus tertekan memandangkan hasil perbendaharaan AS dijangka terus meningkat," katanya. - DagangNews.com