Saham Sapura Energy susut 10% selepas lupus 3 pelantar minyak, RHB Research masih kekal dengan saranan 'jual' | DagangNews Skip to main content

Saham Sapura Energy susut 10% selepas lupus 3 pelantar minyak, RHB Research masih kekal dengan saranan 'jual'

Sapura Energy dijangka merekodkan keuntungan sekali sebanyak AS$1.8 juta daripada penjualan 3 pelantar minyak. - Gambar : Sapura Energy
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Ogos - RHB Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap Sapura Energy Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada 2 sen di sebalik langkah kumpulan melupuskan tiga pelantar penggerudian kepada NKD Maritime Ltd pada harga AS$8.20 juta (RM35.14 juta) secara tunai.

 

Ini kerana penganalisisnya Sean Lim berpendapat penyusunan semula hutang dan ekuiti holistik, yang akan menjadi sangat cair, diperlukan oleh Sapura Energy bagi membolehkannya melangkah keluar daripada kemelut yang dihadapinya ketika ini. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan dijangka merekodkan keuntungan sekali sebanyak AS$1.8 juta daripada penjualan pelantar ini.

 

"Oleh itu, kami secara dasarnya positif dengan perkembangan ini memandangkan pelupusan aset bukan teras akan digunakan untuk membiayai modal kerja dan akan terus mengukuhkan kedudukan kunci kira-kiranya," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Sapura Energy jual 3 pelantar gerudi minyak bernilai RM35.14 juta

 

Pelulusan aset itu membabitkan anak syarikatnya iaitu Sapura Drilling T-19 Ltd, Sapura Drilling T-20 Ltd dan Sapura Drilling Setia Ltd dengan kesemua pihak telah memeterai memorandum perjanjian dengan pembeli pada 18 Ogos 2022.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Jumaat lalu, Sapura Energy berkata, pelantar-pelantar itu, Sapura T-19, Sapura T-20 serta Sapura Setia dijual berikutan ia sudah agak lama (Setia) atau tidak lagi berdaya saing daripada segi teknikal (T-19, T-20).

 

Berdasarkan permintaan pasaran, syarikat tidak melihat sebarang prospek berdaya maju daripada segi kewangan yang dapat dipenuhi oleh pelantar berkenaan jika ia diaktifkan semula pada masa hadapan.

 

Menurut Lim, selepas pelupusan berkenaan, Sapura Energy memiliki 11 pelantar, dengan 10 daripadanya akan beroperasi menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23).

 

"Namun, kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran kami. Ini memandangkan keuntungan sekali sahaja itu hanyalah memberi impak minimum kepada pendapatan, dengan mengambil kira susut nilai dan penjimatan perbelanjaan operasi (opex) agak tidak ketara," jelasnya. 

 

Setakat 10.11 pagi ini, harga saham Sapura Energy susut 0.5 sen atau 10% kepada 4.5 sen dengan 1.35 juta saham diniagakan. - DagangNews.com