KUALA LUMPUR 8 Jun - Saham Serba Dinamik Holdings Bhd. terus menyusut dalam pembukaan dagangan pagi ini susulan laporan mengenai Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang menyiasat masalah perakaunan yang dibangkitkan KPMG minggu lalu.
Menurut SC, pihaknya memperoleh dokumen dan rekod yang diperlukan dari syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan itu bagi membantu siasatan tersebut.
Pada 9.16 pagi, sahamnya susut 16.34% kepada 64 sen sesaham menjadikan nilai permodalan syarikat pada RM2.84 bilion.
Sudah lebih seminggu, Serba Dinamik berdepan konflik dengan audit luarnya, KPMG berhubung audit yang dijalankan ke atas laporan kewangan bagi tahun 2020.
KPMG dalam auditnya membangkitkan isu berkaitan transaksi jualan, pemberi hutang dan pemiutang hingga berjumlah lebih RM3 bilion.
Susulan itu, pada 28 Mei, Datuk Abdul Kadier Sahib, yang juga pemegang saham kedua terbesar Serba Dinamik dan pengarah bukan bebas bukan eksekutif mencadangkan supaya KPMG digantikan dengan BDO PLT dengan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Bagaimanapun, Abdul Kadier yang merupakan pemegang saham utama Serba Dinamik kemudiannya membatalkan tindakan tersebut, setelah mempertimbangkan dengan sewajarnya kebimbangan yang dibangkitkan pemegang saham dan pihak berkepentingan.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing pada minggu lalu sudah mula bersuara mengenai kebimbangan mereka terhadap isu yang membelenggu Serba Dinamik.
BACA : SERBA DINAMIK LESAP RM3.15 BILION MINGGU LALU
Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pula melupuskan kepentingannya dalam syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan ini sejak Selasa menjadikannya bukan lagi pemegang saham utama. - DagangNews.com