Saham Top Glove diunjur terus catat penurunan, kata RHB Research | DagangNews Skip to main content

Saham Top Glove diunjur terus catat penurunan, kata RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Sept - RHB Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham Top Glove Corporation Berhad dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 49 sen berbanding 60 sen selepas mencatatkan kerugian pada 4QFY22.

 

Firma itu berkata, harga saham kumpulan itu menurun sebanyak 8% pada 23 September 2022 menghampiri paras TP sebelum ini iaitu 60 sen.

 

"Kami menjangkakan saham itu akan terus mencatatkan penurunan keranan kekurangan pemangkin jangka pendek.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan semula TP kami dan menaikkan kos andaian ekuiti kami kepada 13% daripada 12%, sambil mengekalkan andaian lain tidak berubah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan permintaan global untuk sarung tangan kekal lemah pada paras sekitar 4% hingga 6% untuk 2023 dan 2024.

 

Katanya, tahap inventori beberapa pengedar sarung tangan terkemuka masih tinggi pada Jun 2022 (lebih tinggi daripada tahap pra pandemik sebanyak c.30% hingga 50%) walaupun terdapat tanda-tanda pengurangan baru-baru ini.

 

Katanya, pengeluaran inventori pengedar sarung tangan mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya setahun sebelum kembali ke tahap sebelum pandemik dengan mengambil kira permintaan normal dan tahap inventori tinggi pengedar sarung tangan (inventori di tangan masih boleh bertahan selama enam bulan lagi).

 

Firma itu berkata, bekalan sarung tangan kekal tinggi dengan unjuran 429 bilion keping menjelang hujung 2022 degan empat pengeluar utama menyumbang 47% bahagian pasaran global dari segi kapasiti pengeluaran berkesan.


"Kami mengandaikan berlaku kelewatan dalam pentauliahan kapasiti ke arah 2HFY23, memandangkan kadar penggunaan industri semasa yang rendah antara 50% hingga 60%.

 

"Bagaimanapun, inventori empat peneluar utama susut sebanyak 9% secara purata pada suku Jun/Ogos 2022 baru-baru ini dan peratusan barang siap berbanding jumlah inventori kekal tinggi, mengikut data daripada laporan tahunan syarikat," katanya. - DagangNews.com