Saingan harga syarikat telekomunikasi, Maybank IB unjur pendapatan TM lemah bagi 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Saingan harga syarikat telekomunikasi, Maybank IB unjur pendapatan TM lemah bagi 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran pendapatan Telekom Malaysia Berhad (TM) lemah pada 4QFY23 berdasarkan beberapa faktor termasuk saingan harga daripada pengendali telekomunikasi lain yang menjejaskan pendapatan.

 

Selain itu katanya, perkembangan kawal selia berkaitan percukaian atau harga produk juga menimbulkan risiko kepada pendapatan kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil bagi 3QFY23 turun 1% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan mendadak dalam hasil panggilan suara dan segmen perusahaan kekal lemah.

 

"Pertumbuhan hasil internet dari suku tahun ke suku tahun juga sederhana kerana pelanggan Unifi semakin berkurangan tetapi sebahagiannya diimbangi peningkatan  purata hasil seunit (ARPU).

 

"Pihak pengurusan menyatakan bahawa rundingan berkaitan standard mandatori mengenai harga akses (MSAP) menghalang keupayaan TM untuk bersaing secara efektif di tengah-tengah landskap operasi yang mencabar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Pendapatan TM susut 2.6% kepada RM3.08 bilion pada 3QFY23

 

Terdahulu, pendapatan kumpulan menyusut terutamanya disebabkan perkhidmatan suara, data dan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi lain.

 

Ini telah diimbangi oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan Internet dan multimedia, mencerminkan pertumbuhan stabil dalam kumulatif pelanggan jalur lebar tetap.

 

Antara tiga segmen perniagaannya, TM One mencatatkan pendapatan operasi luaran yang lebih rendah sebanyak 17% atau RM146.4 juta pada suku semasa kepada RM712.5 juta, berbanding RM858.9 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Ini disebabkan terutamanya oleh perubahan layanan perakaunan untuk pendapatan perisian, peluang projek pelanggan tertunda dan pelarasan harga untuk kontrak perkhidmatan tertentu.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) MYR 6.50 sesaham. - DagangNews.com