Saingan pemain industri dari China, PublicInvest kekal berhati-hati dengan landskap operasi Top Glove pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Saingan pemain industri dari China, PublicInvest kekal berhati-hati dengan landskap operasi Top Glove pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Public Investment Bank (PublicInvest) kekal berhati-hati dengan landskap operasi Top Glove Corporation Berhad tahun kewangan 2024 (FY24) terutama disebabkan kehadiran pengeluar sarung tangan China yang berdaya saing.

 

Berdasarkan semakan, pemain industri dari China menjual sarung tangan pada kadar AS$14 hingga AS$15 bagi setiap 1,000 keping dengan margin keuntungan lebih baik didorong harga arang batu lebih rendah.

 

"Pemain industri Malaysia mungkin menghadapi hakisan lebih lanjut dalam bahagian pasaran global kerana pelanggan mungkin terus mengalihkan pesanan mereka kepada pemain China kerana harga yang lebih rendah.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan Top Glove kekal rugi dan tidak mungkin kembali ke tahap keuntungan seperti sebelum COVID-19 dalam masa terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM463.15 juta bagi 4QFY2, tujuh kali lebih besar daripada kerugian bersih RM63 juta pada 4QFY24.

 

Ini disebabkan oleh kemerosotan nilai muhibah, hartanah, loji dan peralatan berjumlah RM389 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerugian bersih teras yang lebih kecil adalah disebabkan penurunan kos gas asli sebanyak 13% dari suku ke suku manakala kos bahan mentah menyumbang 36% daripada jumlag kos pengeluaran juga menyusut dengan purata harga nitril menurun sebanyak 22% dan harga lateks asli turun kepada 8%.

 

Pada masa sama katanya, kadar penggunaan kilang kekal rendah iaitu sekitar 30%.

 

"Kami mendapati bahawa pelanggan utama masih tidak membuat pesanan yang besar kerana mereka boleh menerima pesanan dalam masa yang singkat kerana kadar penggunaan yang rendah dalam industri," katanya. - DagangNews.com