Sakit mental semakin meningkat di Malaysia: Cukupkah persediaan kita? | DagangNews Skip to main content

Sakit mental semakin meningkat di Malaysia: Cukupkah persediaan kita?

Filem Netflix Monster: The Jeffrey Dahmer Story mengisahkan penghidap sakit mental yang jadi sebutan ramai masa kini. - Gambar hiasan
Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Dr. Tengku Norbaya Tengku Azhar

KESIHATAN mental merupakan satu topik yang sering dibincangkan pada masa kini kerana statistik menunjukkan trend yang meningkat dan merupakan masalah kesihatan yang membimbangkan di Malaysia.

 

Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut setiap tahun pada tarikh 10 Oktober di seluruh dunia bertujuan secara umumnya untuk mempromosikan advokasi kesihatan mental dan mendidik orang ramai agar lebih cakna terhadap kesihatan mental.

 

Kesihatan mental sangat penting kerana ia berkait rapat dengan keseluruhan aspek kehidupan seharian individu. Ia mempengaruhi kesihatan fizikal, kualiti hidup dan produktiviti seseorang.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan mental? Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial yang mempengaruhi cara berfikir dan mempengaruhi tindak tanduk individu dalam satu-satu masa dan keadaan.

 

Oleh itu, adalah penting untuk rakyat Malaysia cakna tahap kesihatan mental, mengenal pasti gejala-gejala masalah kesihatan mental yang wujud dan sekiranya perlu mendapatkan rawatan sewajarnya.

 

Melalui kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, isu ini perlu dikupas agar dapat menambah baik tahap literasi masyarakat, menimbulkan kesedaran dan seterusnya memahami dan dapat bertindak dengan bijak apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

 

Kesihatan mental bukan penyakit yang boleh berjangkit tetapi jika tidak diberikan perhatian yang sewajarnya boleh melibatkan kehilangan nyawa.


 

parafrasa

 


Isu kesihatan mental di tempat kerja seharusnya tidak dipandang ringan mana-mana organisasi. Ia dilihat sebagai isu global yang memberi impak besar terhadap produktiviti organisasi.

 

Kebanyakan pekerja sukar menangani masalah dihadapi di tempat kerja dan gagal mengatasi masalah itu. Stigma umum menjadi punca masyarakat kita gagal untuk bersikap jujur jika mereka mengalami kemurungan.

 

Kurangnya kesedaran dan pengetahuan masalah mental boleh mengakibatkan kakitangan bekerja dalam keadaan tidak produktif dan memberi mereka lebih tekanan jika dimarahi majikan kerana tidak mencapai apa yang diinginkan.

 

Masyarakat sering terlupa bahawa, masalah kesihatan mental melibatkan bebanan emosi dan bebanan tanggungjawab oleh keluarga pesakit.

 

Walaupun kesedaran mengenai isu ini semakin meluas dan mendapat perhatian ramai tetapi stigma yang negatif sering dikaitkan dengannya. Masalah kesihatan mental ini ibarat pembunuh senyap kepada tenaga kerja yang berkualiti.

 

Tekanan dan masalah hidup yang dialami oleh masyarakat pada hari ini mempunyai kesan yang besar terhadap kesejahteraan psikologi mereka. Penyakit mental adalah keadaan kesihatan yang melibatkan perubahan dalam pemikiran, emosi atau tingkah laku yang sering menyebabkan kesukaran untuk menampung tekanan biasa dan rutin kehidupan.


 

parafrasa

 


Penyakit mental atau juga dikenali sebagai kecelaruan mental, boleh menjejaskan sesiapa sahaja. Kegagalan mengawal masalah kesihatan mental akan membawa kepada perkara yang membahayakan seperti bunuh diri dan perbuatan jenayah.

 

Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan pekerjaan, masalah keluarga dan persekitaran.

 

Gejala dan tanda-tanda kesihatan mental yang terjejas boleh timbul akibat dari tekanan secara fizikal, sosial dan persekitaran.

 

Ia terjadi apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri atau menangani tekanan. Ia boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan boleh menjadi di luar kawalan. Ini akan menyebabkan keadaan fizikal dan emosi seseorang itu terjejas.

 

Terdapat 3 faktor yang utama yang menyumbang kepada situasi ini iaitu faktor biologi, psikologi dan persekitaran.

 

Faktor biologi atau fizikal sering dikaitkan dengan ketidakseimbangan pada bahan kimia di dalam otak yang disebut sebagai neurotransmitter. Bahan kimia ini berperanan dalam membolehkan sel-sel di dalam otak berhubung antara satu sama lain. Ketidakseimbangan yang berlaku akan mengganggu fungsi otak.


 

parafrasa

 


Faktor psikologi juga boleh menyumbang kepada gangguan mental seperti: trauma psikologi yang teruk semasa kecil seperti penderaan emosi, fizikal atau seksual, diabaikan oleh keluarga atau gagal dalam membina hubungan dengan orang lain.

 

Faktor persekitaran menyumbang kepada gangguan kesihatan mental adalah perkara yang berlaku di sekeliling boleh merangsang penyakit berkaitan emosi dalam kalangan mereka yang berisiko. Ini termasuklah kematian atau perceraian, bertukar sekolah atau kerjaya atau penyalahgunaan dadah.

 

Isu kesihatan mental sering menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu. Hal ini menjadikan penjagaan kesihatan mental amat penting untuk mencapai matlamat kesihatan awam.

 

Majikan sendiri perlu mengesan lebih awal pekerja tertekan dengan beban kerja kerana kesihatan mental memerlukan perhatian segera.

 

Kempen kesihatan mental juga perlu dilaksanakan dalam setiap organisasi bagi memberi peluang kepada pekerja memahami apa yang boleh mereka lakukan. Ia juga untuk melawan stigma masyarakat yang masih tidak bersikap terbuka apabila membincangkan isu masalah kesihatan mental, khususnya di tempat kerja.

 

Kesimpulannya, majikan perlu prihatin terhadap kesihatan mental pekerja kerana ia satu pelaburan jangka panjang kepada organisasi. Pekerja sejahtera akan menghasilkan mutu kerja tinggi dan mengurangkan kos organisasi dalam menguruskan masalah mental serta salah laku pekerja.


 

parafrasa

 


Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan membabitkan psikologi dan kaunselor di tempat kerja memandangkan penyakit mental ini bakal menjadi pembunuh utama di masa hadapan.

 

Tahap kesihatan mental boleh mempengaruhi cara berfikir, tingkah laku dan perasaan seseorang. Ia juga mempengaruhi cara seseorang itu membuat keputusan dan pilihan dalam hidup, menyelesaikan masalah serta berinteraksi dengan orang lain.

 

Apabila seseorang mempunyai tahap kesihatan mental yang memuaskan, tekanan hidup seharian yang dilalui akan ditangani dengan berfikir secara positif, tenang dan tidak membahayakan diri.

 

Kerajaan perlu memandang serius isu kesihatan mental dan tekanan emosi dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara.

 

Kerajaan dalam pengumuman Bajet 2023 memperuntukkan sebanyak RM413.58 juta untuk Program Kesihatan Mental dan Psikiatri, iaitu peningkatan sebanyak 2.42 peratus berbanding tahun lepas.


 

parafrasa

 


Terdapat beberapa tanda penting bagi mengukur tahap kesihatan mental seseorang individu, iaitu seperti penerimaan seseorang terhadap batas-batas kemampuannya secara realistik, kesanggupan menikmati hubungan sosial, kejayaan dan kerelaan kerjanya, keghairahan hidup, kecekapan menghadapi kekecewaan, pandangan hidup, psikologikal yang luas, kebolehan meluaskan pergerakan dan keperluannya, kebolehpercayaan sikap, dan kesanggupan menanggung risiko tindakan dan keputusannya.

 

Justeru itu, setiap individu boleh menilai diri sendiri sama ada mereka mengalami gangguan kesihatan mental ataupun tidak. – DagangNews.com

 

Dr. Marziah Mokhtar adalah Pensyarah Kanan, Pusat Asasi, Universiti Teknologi MARA dan Dr. Tengku Norbaya Tengku Azhar Pensyarah Kanan, Pusat Asasi, Kampus Dengkil, Universiti Teknologi MARA.