Salcon Engineering raih kontrak pembinaan pembentung bernilai RM20.66 juta di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Salcon Engineering raih kontrak pembinaan pembentung bernilai RM20.66 juta di Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Salcon Engineering Berhad menerusi anak syarikatnya, Envitech Sdn. Bhd. menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Jurutera MTC Sdn. Bhd. bagi kerja retikulasi pembentung utama luaran bernilai RM20.66 juta.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu melibatkan pembinaan di Lot 21145, Mukim 13, Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang untuk Messrs Eco Horizon Sdn. Bhd. 

 

"Projek pembinaan itu dijadual bermula 1 Ogos 2023 hingga 31 Disember 2024.

 

"Projek ini merupakan kontrak pembinaan dan tidak mempunyai pilihan untuk lanjutan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Projek itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan 31 Disember 2024.

 

Bagaimanapun ia tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham dalam syarikat.

 

"Kumpulan ini tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko pelaksanaan berkaitan," katanya. - DagangNews.com