KUALA LUMPUR 13 Ogos - Saliran Group Bhd telah mengeluarkan prospektusnya pada Isnin, sempena tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Walaupun tarikh penyenaraian belum diumumkan, kumpulan itu telah mendedahkan ia akan menawarkan terbitan awam sebanyak 80.4 juta saham, mewakili 21% daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan.
Daripada terbitan baharu itu, 19.45 juta saham akan diperuntukkan kepada orang ramai melalui pengundian, sejumlah 7.66 juta kepada orang yang layak, manakala 54 juta saham akan ditempatkan secara persendirian kepada pelabur terpilih, dengan 47.9 juta akan diberikan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Saliran Group berkata, pada masa cadangan penyenaraiannya, jumlah ekuiti yang diperbesarkan adalah 382.9 juta saham.
Kumpulan itu mendedahkan bahawa mereka akan menggunakan hasil IPO bagi menubuhkan pejabat jualan di Indonesia, membeli lebih banyak mesin dan trak penghantaran, selain membayar balik pinjaman bank serta modal kerja, dengan baki digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Mengulas lanjut mengenai cadangan pembesaran di Indonesia, kumpulan itu merancang untuk menyewa unit pejabat berukuran kira-kira 1,000 kaki persegi di Jakarta Selatan, Indonesia.
"Pejabat baharu ini akan menyokong pengembangan perniagaan kami dan membolehkan kami meraih peluang daripada permintaan pasaran di Indonesia kerana berada berdekatan dan boleh diakses oleh pelanggan tempatan di Indonesia,” katanya dalam prospektusnya.
Pada masa sama, mereka juga menjangka pengembangan itu akan dibiayai sepenuhnya oleh hasil IPO.
Pembekal peralatan minyak dan gas itu berkata, sumbangan jualannya dari Indonesia berada pada trend meningkat daripada RM1.21 juta atau 1.71% pada tahun kewangan berakhir 2021 kepada RM37.6 juta, atau 15.46% untuk kewangan berakhir 2023.
Saliran Group menegaskan, inisiatif Indonesia perlu dilakukan dalam tempoh 42 bulan dari tarikh penyenaraiannya, sambil menjangkakan pembelian trak dan jentera penghantaran baharu serta pembayaran balik pinjaman bank dalam tempoh 24 bulan dari tarikh penyenaraian.
Memandangkan harga tawaran saham-saham itu juga belum dilaporkan dalam prospektus, tidak jelas pada ketika ini berapa banyak dana yang dijangkakan kumpulan itu daripada penyenaraian IPO itu.- DagangNews.com