Samaiden, Aneka Jaringan jalin kerjasama untuk manfaatkan potensi sistem solar di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Samaiden, Aneka Jaringan jalin kerjasama untuk manfaatkan potensi sistem solar di Indonesia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Samaiden Group Berhad menjalinkan kerjasama dengan Aneka Jaringan Holdings Berhad bagi mencipta aliran pendapatan baharu menerusi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem solar fotovoltaik (PV) serta loji tenaga di Indonesia.

 

Kerjasama itu akan memberikan akses keapda Samaiden kepada pasaran Indonesia dan membolehkan anak syarikat Aneka Jaringan, PT Aneka Jaringan Indonesia untuk menambah rantaian nilainya dalam segmen itu.

 

Katanya, sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) Indonesia mempunyai potensi besar sambil memberitahu bahawa kerjasama itu meletakkan kedua-dua syarikat dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang yang diberikan oleh Indonesia menerusi RE.

 

Sebagai tambahan kepada EPCC PV solar, kerjasama itu akan menyediakan perkhidmatan perundingan alam sekitar, perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan, dan kemudahan pemindahan kemudahan RE.

 

Pengarah Urusan Samaiden, Chow Pui Hee berkata, Indonesia memberikan potensi besar dalam bidang kepakaran mereka iaitu RE, khususnya sistem solar PV.

 

"Kami menganggap Aneka Jaringan melalui anak syarikatnya di Indonesia, sebagai rakan kongsi yang sempurna yang mempunyai pengetahuan, rangkaian dan pengalaman tempatan yang boleh mempercepatkan dan menyokong pengembangan kami.

 

"Dengan lebih 200 projek berjaya disempurnakan, kami komited untuk menyediakan penyelesaian terbaik untuk menyokong cita-cita sifar bersih Indonesia," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui berkata, kerjasama itu adalah selaras dengan strategi perkembangan mereka untuk mengembangkan operasi di Indonesia selain meningkatkan aliran pendapatan.

 

"Pejabat baharu kami di Jakarta hampir siap dan bersedia menerima syarikat kerjasama baharu dan ia akan membolehkan mereka beraksi di lapangan untuk memanfaatkan potensi tenaga solar 400,000 megawatt (MW) Indonesia," katanya. - DagangNews.com